25 C
Kota Kinabalu
Khamis, Jun 20, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Sukan platform terbaik lahirkan warga cergas fizikal mental – Jahid

JAHID Memulakan pertandingan dengan membuat simbolik sepak mula.

TAMPARULI: Aktiviti sukan merupakan flatform terbaik bagi melahirkan warga yang sihat dari segi fizikal dan mental.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, menerusi latihan konsisten dan seimbang daripada aspek merangkumi minda, fizikal, otot dan emosi, sukan juga mampu membentuk keperibadian seseorang.

“Dengan bersukan, seseorang juga kekal cergas, berdisiplin, patuh kepada peraturan, dan secara tidak langsung mampu membentuk seseorang agar lebih berhemah tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah anjuran Kelab Tamparuli Sabah (KTS).

Turut hadir Presiden KTS, Datuk Francis Soon, Tinbalan Presiden KTS, Ronnie Soon, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tamparuli, Setiausaha Politik Kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Jilias Lintar, dan Pengerusi Penganjur, Salle M. Ampuling.

UNTUK ALBUM …. Jahid bergambar kenangan bersama penganjur dan para pemimpin masyarakat yang hadir.

Menurutnya, program seumpama ini turut membentuk seseorang menjadi lebih bertanggungjawab, berdisiplin, semangat kental dan mempunyai daya kepimpinan tinggi.
Jahid, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tamparuli, menghargai usaha murni KTS dan menyifatkan penganjuran tersebut sebagai satu langkah tepat untuk mencapai matlamat ke arah masyarakat sihat dan cergas.

Selain itu, kejohanan sukan seumpama itu juga dapat mengeratkan silaturrahim dalam kalangan masyarakat pelbagai bangsa.

“Apa pun, karnival ini bukan semata-mata untuk mencari kejuaraan, tetapi turut mengajak masyarakat untuk hidup saling hormat-menghormati, selain bagi memberi pengalaman berguna kepada semua pemain,” kata Jahid.

Sebanyak 30 pasukan dari pelbagai daerah menyertai kejohanan yang julung kalinya dianjurkan persatuan berkenaan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN