Terima kasih….Nizam menerima cenderahati daripada UIAM.
KOTA KINABALU – Pertandingan sukan bukan sekadar meraih kemenangan tetapi semangat kesukanan dan perpaduan antara satu sama lain.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, sukan juga merupakan platform untuk membuktikan kesungguhan dan perjuangan.
“Ingatlah bahawa kemenangan sebenar bukan sahaja terletak pada trofi atau pingat yang dimenangi, tetapi juga pada pengalaman, pembelajaran, dan persahabatan yang telah terjalin sepanjang sukan ini.
“Semoga segala usaha dan pengorbanan yang telah dicurahkan akan menjadi pendorong untuk anda terus maju dan berjaya dalam bidang yang diceburi,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmi penutup Hari Sukan Anak Sabah di sini hari ini.

Kenangan…Nizam bergambar kenangan bersama para peserta Hari Sukan Anak Sabah.
Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Apas berkata, program sukan juga memberi peluang kepada peserta untuk menonjolkan bakat dan kebolehan.
“Selain itu acara seperti ini menjadi platform untuk memupuk semangat kesukanan, perpaduan, dan silaturahim di kalangan peserta. Ini adalah nilai-nilai murni yang perlu kita semai dan kekalkan dalam masyarakat kita,” katanya.
Beliau turut merakam tahniah kepada persatuan Ikatan Anak-anak Sabah (IKAS) kampus Gombak selaku penganjur dan berharap program seperti itu akan diteruskan lagi pada masa depan.
“Saya berharap agar program seperti ini dapat diteruskan dan diperkasakan lagi pada masa hadapan. Marilah kita bersama-sama berusaha untuk melahirkan generasi muda yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang sukan tetapi juga berdaya saing, berdisiplin, dan berwawasan,” kataya.
Seramai 68 peserta dari empat kampus utama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengambil bahagian dalam program tahunan Sukan Anak-Anak Sabah 2025 yang melabuhkan tirainya semalam.
Turut hadir sama Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Pembangunan, UIAM,
Jamaluddin Said, Pengarah Program Muhammad Ikmal Iksani serta ahli jawatankuasa Hari Sukan Anak- anak Sabah.



