SOKONGAN: Sumbangan dana oleh Dato’ Ishak kepada Program CNG RUN FOR HEALTHY 2026 anjuran Catholic Nurse Gulid Keningau di sampaikan oleh Maurice kepada Heillie F Abel (kanan ) di Pejabat ADUN Bingkor.
KENINGAU: Enam pelajar dari kawasan Bingkor menerima sumbangan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Dato’ Sr. Mohd Ishak Ayub bagi membantu menampung keperluan melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT).
Sumbangan itu melibatkan keperluan kemasukan, perjalanan dan perbelanjaan awal pengajian bagi pelajar yang melanjutkan pendidikan di beberapa IPT termasuk Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Penerima ialah Jassy Jasila Jimmy dari Kampung Ria Atas bagi keperluan kemasukan ke UiTM Shah Alam; Maeerryana Teris dari Kampung Tonobon Baru bagi pembelian tiket penerbangan kembali ke UiTM Perlis; dan Felicity Hendry dari Kampung Kikiran bagi menampung keperluan kemasukan semester tiga di UMS bagi sesi 2026-2027.
Turut menerima sumbangan ialah Elton Elu Ng dari Taman Fajar, Lot 66, bagi keperluan kemasukan ke UiTM Sabah; Mohd Aiman Ruddy dari Kampung Tuarid Tatal bagi kemasukan ke UKM dalam bidang Dakwah dan Kepimpinan; serta Sharon Teh You You dari Kampung Ranggom bagi keperluan kemasukan ke UiTM Sabah.
Selain bantuan pendidikan, sumbangan turut disalurkan bagi menyokong beberapa program belia, kesihatan dan kemasyarakatan di kawasan berkenaan.
Antaranya, Majlis Gereja-Gereja Keningau (MGGK) menerima sumbangan bagi menjayakan Fun Run Belia MGGK 2026, manakala Catholic Nurse Guild of Keningau menerima bantuan bagi pelaksanaan Program CNG Run for Healthy 2026.
Gabungan Komuniti Rukun Tetangga (KRT) Mukim Apin-Apin turut menerima sumbangan bagi menjayakan program Derma Darah anjuran gabungan 12 KRT mukim itu yang dijadualkan pada 13 Oktober ini.
Kesemua sumbangan diserahkan oleh Pegawai Akhbar Pejabat ADUN Bingkor, Maurice Sooh, yang mewakili Mohd Ishak, kepada penerima atau wakil masing-masing.
Bantuan kepada Maeerryana diterima bapanya, Teris Gapilit; Felicity oleh bapanya, Henry Paulus; Elton oleh ibunya, Easter Ronalad Jaini; Mohd Aiman oleh Pengerusi JKKK Kampung Tuarid Tatal, Pepol Ogop; dan Sharon oleh CFelly Erllyn Widi.
Sementara itu, sumbangan kepada MGGK diterima Rev. Henry anak Unjar, Catholic Nurse Guild oleh Heilie F Abel, manakala bantuan kepada Gabungan KRT Mukim Apin-Apin diterima Pengerusi KRT Kampung Ritting, Zinin Rahmat.
Sumbangan berkenaan merupakan antara usaha membantu keperluan pendidikan serta menyokong pelaksanaan aktiviti belia, kesihatan dan kemasyarakatan dalam kawasan Bingkor.



