ADVERTISEMENTspot_img

BELANJAWAN 2027 HARAPAN BELIA PEDALAMAN UNTUK MASA DEPAN YANG LEBIH BAIK

Deniel

TAMBUNAN: Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian P.180 Keningau menggesa Kerajaan Persekutuan supaya meletakkan realiti kehidupan belia luar bandar di Sabah sebagai keutamaan dalam penyediaan Belanjawan 2027.

​Naib Ketua Pemuda PGRS P.180 Keningau, Deniel Dilliam berkata, tumpuan khusus perlu diberikan terhadap usaha mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan isi rumah, memperkasa latihan kemahiran serta memantapkan kemudahan asas di kawasan pedalaman.

​Beliau yang juga Penyelaras Pemuda DUN N.39 Tambunan menegaskan, langkah itu penting memandangkan cabaran jurang sosioekonomi di negeri ini masih lagi ketara berbanding negeri-negeri lain di Semenanjung.
​Mengulas lanjut, Deniel memetik data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang mencatatkan kadar pengangguran Sabah pada tahun 2025 berada pada tahap 7.2 peratus, berbanding kadar nasional yang hanya mencatatkan 3.0 peratus.

​Selain itu, pendapatan isi rumah kasar bulanan penengah bagi Sabah pada tahun 2024 direkodkan sebanyak RM4,890, manakala 38.3 peratus isi rumah di negeri ini masih berpendapatan di bawah RM4,000.


​”Angka-angka ini adalah bukti jelas bahawa masih wujud jurang ekonomi yang besar.

Oleh itu, belia di kawasan pedalaman amat berharap Belanjawan 2027 dapat mengemukakan penyelesaian yang lebih bersasar, terutamanya melalui pemerkasaan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta latihan kemahiran yang relevan dengan kehendak industri tempatan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

​Mengulas mengenai hala tuju belia, Deniel menegaskan bahawa program latihan kemahiran tidak sepatutnya terhenti setakat penyerahan sijil semata-mata, sebaliknya perlu disusuli dengan bimbingan berterusan sehingga anak muda mendapat penempatan pekerjaan yang stabil, membina perniagaan, atau berkeupayaan menjana pendapatan secara mandiri.

​Dalam pada itu, beliau menyeru agar peruntukan khas dialokasikan untuk menggerakkan sektor ekonomi luar bandar seperti pertanian moden, agro-pelancongan, keusahawanan belia, ekonomi digital serta Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).


​Langkah tersebut disifatkannya sebagai kunci utama bagi membolehkan generasi muda terus membina masa depan di kampung halaman tanpa perlu berhijrah ke bandar-bandar besar semata-mata untuk mencari pekerjaan.

​Di samping pemerkasaan ekonomi, pembangunan prasarana asas di kawasan luar bandar turut disifatkan sebagai pelaburan pembangunan modal insan yang tidak boleh diabaikan.


​”Kemudahan fizikal seperti jalan raya yang sempurna, capaian internet yang stabil, pengangkutan awam, bekalan air dan elektrik, serta fasiliti sukan dan komuniti bukanlah sekadar projek fizikal, tetapi merupakan pemangkin potensi anak muda di luar bandar.

​”Berdasarkan data DOSM, akses internet isi rumah di luar bandar Malaysia pada 2024 mencatatkan 90.3 peratus, masih jauh berbanding kawasan bandar yang mencapai 98.8 peratus. Jurang digital ini perlu dirapatkan segera,” tambahnya.


​Sehubungan itu, beliau menyambut baik penekanan awal Kerajaan Persekutuan bagi Belanjawan 2027 yang menumpukan kepada jurang pembangunan wilayah, khususnya membabitkan Sabah, Sarawak serta kawasan desa dan pedalaman.

​Beliau berharap komitmen berkenaan diterjemahkan secara nyata melalui pengagihan peruntukan yang jelas, berimpak tinggi dan terus sampai kepada rakyat di peringkat akar umbi.


​”Belanjawan 2027 bukan sekadar tentang angka atau jumlah peruntukan bilion ringgit yang diumumkan, tetapi sejauh mana dasar tersebut berupaya membuka pintu peluang masa depan yang lebih cerah bagi belia di pedalaman Sabah,” katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN