Champion Of Champion ….Muhammad Al-Akif Bin Elias (kanan) dari Brunei Darussalam
PENAMPANG: Sukan bina badan memerlukan program pembangunan secara sistematik dengan bermula dari peringkat usia muda untuk membolehkan negeri ini melahirkan atlet bina badan bertaraf dunia.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk James Ratib berkata, atlet bina badan ini juga memerlukan banyak pengorbanan, dedikasi, disiplin tinggi dari para atlet selain pengetahuan sains yang mendalam dari pelbagai aspek seperti pemakanan dan sebagainya.
“Sehubungan itu, Persatuan Bina Badan Negeri Sabah, sudah pastinya perlu menekankan kepentingan penyediaan fasiliti yang lengkap serta tajaan untuk membolehkan atlet mendapat latihan dan keperluan yang mencukupi.
“Selain itu, persatuan juga memainkan peranan dengan baik dan proaktif dalam mengembangkan sukan ini meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran selain serba kekurangan,” katanya.
Menurut beliau, di peringkat Kerajaan Negeri, sudah pastinya kerajaan menyokong penuh usaha-usaha yang dilakukan oleh mana-mana persatuan sukan di negeri ini termasuklah persatuan sukan bina badan melalui Kementerian yang berkenaan.
“Saya juga menyarankan supaya Persatuan Bina Badan Negeri Sabah, menjalinkan hubungan lebih baik serta kolaborasi dengan pihak berkenaan termasuklah kementerian yang bertanggungjawab dengan sukan di negeri ini.
“Saya yakin dan percaya atlet-atlet sukan bina badan di negeri Sabah ini akan terus mengorak langkah lebih jauh, sekaligus melakar pelbagai kejayaan termasuklah di peringkat antarabangsa kelak,” katanya.
James yang juga ADUN Sugut berkata demikian semasa merasmikan Majlis Makan Malam Mr. Borneo 2024 yang diadakan di Dewan Kebudayaan Penampang pada hari Sabtu.
Beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada jawatankuasa pelaksana atas kejayaan menganjurkan majlis makan malam itu dan juga penganjuran pertandingan Bina Badan dan Fizik Mr. Borneo 2024.
“Saya telah dimaklumkan oleh Presiden SBBA, hampir 40 meja telah berjaya dijual bagi membiayai sebahagian daripada kos perbelanjaan penganjuran kali ini.
“Ini menggambarkan betapa sukan bina badan mempunyai ramai peminat bukan saja dalam kalangan atlet tetapi juga masyarakat di sekeliling kita terutamanya anak-anak muda.
“Saya juga difahamkan, lebih 100 atlet bina badan melibatkan wakil daripada Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan, Negara Brunei Darussalam dan Wilayah Kalimantan, Indonesia telah mengambil bahagian dalam pertandingan Mr. Borneo pada tahun ini. Syabas dan tahniah sekali lagi kepada pihak penganjur,” katanya.
Menurut James lagi, walaupun sukan ini di bawah Kementerian Belia dan Sukan, namun sebagai salah seorang anggota Kabinet Negeri Sabah, beliau secara peribadi menyokong sebarang usaha yang dilakukan dalam memajukan sukan bina badan khususnya di negeri Sabah.
Beliau berterima kasih kepada SBBA kerana telah memilih Daerah Penampang sebagai destinasi MR. Borneo kali ini.
“Saya yakin melalui aktiviti penganjuran sukan seperti ini akan dapat mempromosikan tempat-tempat pelancongan di daerah Penampang dan sekitar Kota Kinabalu, sekaligus mampu merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan seperti indusri kecil sederhana dan perhotelan,” jelas beliau.