Sudah beritahu PM adakan PRU15 dalam masa terdekat: Tok Mat

Sudah beritahu PM adakan PRU15 dalam masa terdekat: Tok Mat

SEREMBAN – Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) wajar diadakan dalam masa terdekat dengan mengambil kira sentimen rakyat ketika ini yang dilihat memihak kepada Barisan Nasional (BN) telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau menyuarakan pandangan itu kepada Perdana Menteri pada Sabtu selepas sahaja BN memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Saya cakap dengan beliau (Perdana Menteri) semalam (Sabtu), kita perlu pertimbangkan untuk segerakan pilihan raya umum. Suka atau tidak, PRU bulan Julai, sebab perjanjian persefahaman kerajaan dan pembangkang sampai bulan Julai. Dinamik politik tidak statik dan boleh berubah setiap hari. Jadi, terpulang kepada BN dan UMNO untuk membuat ulang kaji mengenai apa yang terbaik boleh dilakukan. Sama ada perlu untuk PRU15 diadakan dalam waktu terdekat atau tunggu sehingga habis penggal mesti difikirkan secara mendalam.

“Namun jika tanya saya, saya mahu PRU15 diadakan esok. ‘The feel good factor’ (faktor baik) ada di sini (PRN Melaka) kerana masih lagi segar dengan kemenangan dan mandat yang diberi oleh rakyat,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Agung Kebangsaan Persatuan Solidariti Nasional (Persona) Kali Ke-6 Sesi 2020 di sini, pada Ahad.

Sementara itu, mengenai kemenangan BN di PRN Melaka, Mohamad yang juga dikenali sebagai Tok Mat berkata, ia merupakan keputusan daripada rakyat Melaka yang jelas memberikan isyarat bahawa mereka mahukan kerajaan yang stabil, kesejahteraan, kemakmuran kepada negara dan negeri.

“Itu isyarat yang boleh saya baca. Syukur di atas kemenangan tersebut tetapi ini satu amanah yang besar diberikan kepada BN agar kerajaan negeri Melaka yang baharu ini mengurus tadbir Melaka dengan baik kerana ia harapan orang (rakyat).

“Rakyat sudah tertekan dengan berbagai-bagai tekanan seperti keadaan politik tidak menentu, tambahan pula jangkitan Covid-19 yang menyebabkan ramai hilang kerja, hilang pendapatan serta hilang ahli keluarga. Maka, kemenangan yang begitu besar diberikan oleh rakyat Melaka itu perlu diterjemahkan kepada tanggungjawab dan amanah yang besar kepada kami (BN),” katanya.

Sinar Harian