BorneoBuletin//21 November 2019
Seorang lelaki di Thailand dipercayai menang loteri sebanyak 6 juta baht (RM829,915.80), bertindak meninggalkan isterinya.
Isteri suspek, Pornthida Chamnanwet, 23, membuat laporan polis pada 17 November lalu selepas suaminya, Wijak Wannaprasit, 34, melarikan diri dengan tiket loteri itu.
Difahamkan, Pornthida yang memilih tiket loteri tersebut yang menang tempat pertama ketika keputusan pemenangnya diumumkan pada 16 November lalu.
Pasangan itu kemudian merekodkan kemenangan mereka di sebuah balai polis di Bangkok, menandatangani nama mereka pada tiket itu sebelum mengambil gambar dengan tiket itu.
Pasangan itu bersetuju untuk membahagikan wang kemenangan itu sama rata.
Pornthida berkata, dia sudah pun mempunyai perancangan bagaimana hendak membelanjakan wang itu. Namun perancangan itu tergendala.
Sehari selepas itu, Wijak menjadi tamak dan hanya mahu memberi Pornthida sebanyak 2 juga baht berbanding persetujuan asalnya 3 juta baht.
Pornthida tidak berpuas hati dan meminta penjelasan Wijak yang akhirnya membawa kepada pertengkaran menyebabkan Wijak keluar dari bilik sewa mereka dengan membawa bersama tiket tersebut.
Pornthida membuat laporan dan meminta polis menghalang Wijak dari menuntut wang kemenangan itu.
Menurut peguam Thailand, Wijak boleh dikenakan hukuman penjara selama tiga tahun sekiranya dia didapati bersalah atas tuduhan penyelewengan.
Selepas kejadian itu disiarkan media tempatan, Wijak kembali ke rumah dan memaklumkan dia belum lagi menuntut wang kemenangan itu.
Pasangan itu kembali berdamai dan mereka akan menuntut wang tersebut dari pejabat loteri yang terdekat. -Sumber: AsiaOne-