PUTRAJAYA: Datuk Julita Mojungki pada Isnin mengadakan sesi kunjungan hormat ke Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengeratkan hubungan kerjasama serta bertukar pandangan berkaitan agenda kesihatan, khususnya untuk memperkukuh sistem kesihatan di Sabah.
Kunjungan tersebut turut dihadiri Setiausaha Tetap Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat (KWKKR), YBhg. Datuk Maria Chong, bersama pegawai-pegawai kanan kementerian berkaitan.
Dalam pertemuan itu, Datuk Julita membangkitkan beberapa isu keutamaan termasuk keperluan meningkatkan kapasiti simpanan air di hospital-hospital di Sabah bagi memastikan perkhidmatan kritikal seperti pembedahan dan rawatan yang memerlukan air bersih dapat diteruskan sekiranya berlaku gangguan bekalan air.
Beliau turut menekankan keperluan memperkukuh perkhidmatan Jabatan Pediatrik Talasemia di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS), khususnya pelaksanaan rawatan pemindahan sel stem bagi pesakit talasemia kanak-kanak.
Menurutnya, rawatan awal berpotensi mengurangkan beban rawatan seumur hidup sekiranya pesakit sembuh pada usia muda.
Selain itu, Datuk Julita menyuarakan kepentingan meneruskan projek naik taraf baki 46 klinik daif di Sabah serta menangani isu Bayaran Insentif Wilayah dan Elaun Perpindahan, yang disifatkan penting bagi menarik dan mengekalkan tenaga pakar perubatan untuk berkhidmat di negeri itu.
Beliau berharap kerjasama strategik antara kerajaan negeri Sabah dan KKM dapat diperkasakan secara berterusan demi meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan dan kesejahteraan rakyat di Sabah.



