KOTA KINABALU: Keprihatinan Pembantu Menteri Keawangan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Dato’ Sr. Mohd Ishak Ayub, dan Pembantu Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah merangkap ADUN Tulid, Jordan Jude Ellron , memberi suntikan moral kepada Crocz Rugby Club (Crocz RC) apabila tampil menyokong penyertaan pasukan itu pada Kejohanan Ragbi 1st Mayor Cup 2026 yang berlangsung di Padang SMK Petagas baru -baru ini.
Walaupun kemaraan Crocz RC terhenti di peringkat Separuh Akhir Bowl, penyertaan itu membuka ruang kepada pemain-pemain muda menimba pengalaman pertandingan berintensiti tinggi, sekali gus memperkukuh kemahiran, disiplin dan keyakinan sebagai pelapis sukan ragbi Sabah.
Pengurusan Crocz RC berkata, sokongan yang diterima daripada kedua-dua pemimpin negeri, selain sektor swasta dan individu prihatin, menjadi pemangkin penting dalam usaha membangunkan bakat belia melalui sukan.
“Kami amat bersyukur atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan. Keputusan kejohanan bukan ukuran mutlak kerana pengalaman yang diraih pemain muda jauh lebih bernilai untuk membentuk mereka menjadi atlet yang lebih matang pada masa hadapan,” menurut kenyataan Crocz RC.
Pasukan itu turut merakamkan penghargaan kepada C.O.BEY Service (Aircond Repair & Services), Tuan Quincy dan Tuan Teow atas sumbangan yang membantu menjayakan penyertaan mereka dalam kejohanan tersebut.
Menurut Crocz RC, pembangunan sukan memerlukan kerjasama berterusan antara kerajaan, sektor swasta dan masyarakat bagi memastikan lebih ramai belia mendapat peluang mengasah bakat serta mengharumkan nama Sabah di pentas yang lebih tinggi.
Kekalahan mungkin menutup satu kejohanan, tetapi tidak pernah menamatkan sebuah impian. Bagi Crocz RC, setiap perlawanan meninggalkan pengalaman, setiap cabaran membentuk ketahanan, dan setiap sokongan yang dihulurkan menjadi asas untuk melahirkan lebih ramai pemain ragbi yang mampu membawa nama Sabah dan Malaysia dengan penuh kebanggaan.



