Datuk Mohd Rafi
LABUAN: UMNO Bahagian Labuan menyuarakan empat perkara supaya diberi keutamaan oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelang pembentangan belanjawan yang dijadualkan pada 9 Oktober ini.
Ketua UMNO Bahagian Labuan,, Datuk Mohd Rafi Ali Hassan berkata, empat perkara yang perlu diberi perhatian dan menjadi keutamaan dalam belanjawan 2027, pertamanya ialah berkaitan kos sara hidup yang tinggi yang dihadapi oleh rakyat Labuan.
“Sebagai sebuah pulau, kos pengangkutan dan logistik memberi kesan langsung kepada harga barangan keperluan. Kita memerlukan mekanisme yang lebih berkesan termasuk bantuan atau subsidi pengangkutan barangan asas supaya rakyat Labuan tidak terus menanggung kos yang lebih tinggi hanya kerana faktor geografi”, tulisnya dalam hantaran facebook beliau hari ini.
Kedua katanya, peluang pekerjaan dan pengukuhan ekonomi. Labuan mempunyai asas kukuh dalam sektor minyak dan gas, kewangan antarabangsa, maritim dan perkhidmatan.
Kita mahu lebih banyak aktiviti hiliran, industri baharu dan pelaburan strategik dibawa masuk supaya peluang pekerjaan berkualiti dapat diwujudkan, khususnya untuk anak-anak muda Labuan. Ini juga selari dengan penekanan Belanjawan 2027 terhadap peningkatan pendapatan dan pembukaan pekerjaan berkualiti.
Perkara ketiga yang perlu diberi perhatian dalam belanjawan kali ini ialah penyelesaian menyeluruh masalah gangguan bekalan air yang sejak sekian lama membelungu rakyat Labuan.
‘Saya berharap peruntukan khusus dapat diberikan untuk memperkukuhkan infrastruktur air, meningkatkan kapasiti bekalan serta meneroka sumber alternatif termasuk teknologi desalinasi air laut sebagai sebahagian penyelesaian jangka panjang”, jelasnya.
Manakala perkara keempat yang perlu diberi keutamaan ialah mengembalikan keistimewaan Labuan sebagai Pulau Bebas Cukai.
Rakyat Labuan mengharapkan supaya kerajaan yang ada hari ini dapat menilai semula dasar berkaitan status dan keistimewaan bebas cukai Labuan.
Labuan yang diberikan status Pulau Bebas Cukai sejak zaman kolonial bukan sahaja mempunyai nilai sejarah yang panjang, tetapi juga menjadikan Labuan sebagai sebuah pulau yang mempunyai nilai ekonomi yang berdaya maju dari pelbagai aspek terutamanya di sektor pelancongan, perdagangan dan perniagaan tempatan.
“Justeru itu kita mahu status Labuan Bebas Cukai dapat dikembalikan sepenuhnya, katanya.
Mohd Rafi yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysis berkata, empat perkara ini bukan sekadar senarai permintaan. Sebalinya ia adalah suara dan harapan rakyat Labuan untuk melihat pulau ini kembali berkembang dan menikmati pembangunan yang setimpal dengan potensinya.
Kementerian Kewangan sendiri menegaskan bahawa Belanjawan 2027 mahu memastikan pembangunan lebih terangkum supaya setiap negeri, wilayah dan komuniti menikmati peluang ekonomi, perkhidmatan awam dan kemudahan asas secara saksama.
Katanya, Rakyat Labuan percaya, dengan perhatian dan komitmen Kerajaan Persekutuan, Labuan mampu bangkit sebagai sebuah pulau ekonomi yang penting di Borneo — bukan sahaja untuk rakyat Labuan, tetapi untuk pembangunan Sabah, Sarawak dan Malaysia keseluruhannya.



