RANAU: Gempa bumi lemah bermagnitud 3.5 melanda kawasan Paginatan, Ranau, pada 10.57 pagi tadi, dengan gegaran berkemungkinan dirasai di daerah itu dan kawasan sekitarnya.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan gempa bumi itu berlaku pada koordinat 5.9 darjah Utara dan 116.7 darjah Timur, kira-kira 14 kilometer ke selatan Ranau, pada kedalaman 13 kilometer.
MetMalaysia akan terus memantau aktiviti seismik di kawasan berkenaan dan menyalurkan maklumat terkini sekiranya terdapat sebarang perkembangan.



