TATAP PGRS!…. James (tengah) bersama kepimpimpinan bahagian dan perwakilan PGRS Sungai Sibuga, pada Ahad
SANDAKAN: Rakyat diseru agar terus menyokong Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) yang merupakan sebuah parti politik yang memperjuangkan kepentingan dan aspirasi rakyat Sabah.
Adun Sugut merangkap Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR), Datuk James Ratib berkata, PGRS lantang dalam memperjuangkan autonomi dan pembangunan yang lebih baik untuk Sabah.
“Selain itu, parti ini juga menekankan tentang perlunya melindungi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat Sabah, terutama keadilan sosial, pemerkasaan ekonomi, dan akses kepada peluang pendidikan dan pekerjaan bagi rakyat Sabah.
“Justeru, untuk merialisasikan aspirasi perjuangan murni parti, kita sebagai pemimpin dan ahli PGRS perlu mempersiapkan diri serta jentera parti di semua peringkat.
“Ini kerana, persiapan rapi jentera parti sudah pastinya akan membawa kepada kejayaan parti kita kelak,” katanya.
Tambah beliau, ahli parti juga perlu tunjukkan semangat juang yang konsisten selain bekerjasama erat dalam merangka pelbagai strategi berkesan untuk memenangi hati rakyat demi kemenangan calon-calon PGRS pada PRN ke-17 akan datang.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Mesyuarat Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Sungai Sibuga, Sandakan pada Ahad.
“Syabas dan tahniah PGRS Bahagian Sungai Sibuga kerana berjaya mengadakan Mesyuarat Tahunan tahun 2024.
“Saya juga mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan atas penghormatan untuk saya merasmikan Mesyuarat Tahunan Bahagian ini.
“Para Perwakilan dan pemerhati, sesungguhnya kehadiran anda semua ke Mesyuarat Tahunan ini, pastinya menyemarakan lagi semangat untuk memperkuat serta memperkukuhkan parti keramat ini, terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN17) Sabah yang akan diadakan tidak lama lagi,” katanya.
James turut memberi penghargaan setinggi-tinggi terima kasih atas kehadiran pimpinan-pimpinan parti-parti komponen GRS yang hadir iaitu; UPKO, PARTI CINTA SABAH, PBS, dan kalangan pemimpin kapitan cina.
“Ingin saya tegaskan bahawa GRS perlukan sokongan padu dari semua parti-parti Komponen ini apabila PRN 17 menjelang tiba kelak,” jelas beliau.