GAMBAR: NORAZITA (empat kanan) bersama barisan Pentadbir SMK Taman Perumahan Bedaun.
LABUAN: SMK Taman Perumahan Bedaun (SMK TPB) telah mengadakan Majlis Pelancaran Program Sahsiah Unggul Murid (SUMUR) dan Mentor Mentee Tahun 2022, baru-baru ini.
Majlis yang dianjurkan oleh Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK TPB dan Panitia Pendidikan Islam ini telah dilancarkan oleh Pengetuanya, Norazita Md Nor.
Turut diadakan pada majlis itu penyerahan Modul Mentor Mentee oleh Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM), Awang Adi Tuah kepada Norazita sebagai simbolik perasmian program tersebut.
Turut hadir Penolong Kanan Pentadbiran, Chai Yee San, Penolong Kanan Kokurikulum, Lau Chin Ying bersama 36 guru dan 520 murid.
Program SUMUR yang bermula pada 2017 ini merupakan arahan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bermatlamat melahirkan murid yang memiliki personaliti terpuji dan boleh dicontohi oleh murid lain, memupuk perasaan cintakan ilmu untuk kebahagiaan dunia dan akhirat, menerapkan nilai jati diri dan berusaha meningkatkan daya kepimpinan dan mempunyai semangat patriotisme yang tinggi.
Terdapat empat Modul utama dalam Program SUMUR iaitu Modul Mutadayyin, Modul Berbudi Bahasa, Modul Jati Diri dan Modul Penampilan Diri.
Kesemua Modul ini merangkumi semua aktiviti yang dijalankan oleh sekolah dan murid-murid akan dinilai permakahan oleh guru-guru sepanjang tahun.
Norazita berkata pembentukkan sahsiah dan disiplin yang positif adalah penting dalam melahirkan generasi berakhlak terpuji.
Katanya, pelbagai usaha yang dilaksanakan oleh pihak sekolah bagi meningkatkan sahsiah dan keterampilan diri yang positif dalam kalangan murid agar dapat mencegah mereka daripada gejala yang tidak sihat yang mungkin akan menjejaskan masa depan mereka.
Beliau juga mengingatkan agar pelaksanaan program SUMUR dan Mentor Mentee sekolah ini dapat dijalankan dengan sebaiknya agar berjaya memperkasakan potensi dan kemenjadian murid sekolah ini.



