25.8 C
Kota Kinabalu
Ahad, Januari 19, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

SMK Rancha-Rancha laksana Jom Baca Bersama 10 Minit

PENGETUA  SMK Rancha-Rancha Yahya Puteh.


LABUAN– Pusat Sumber Dato’ Sri Datin Hajjah Norsiah (PSS DSDN) SMK Rancha-Rancha (SMKRR) telah melaksanakan program ‘Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit Rentas Sempadan’ dengan merentas sempadan negeri-negeri di Malaysia secara atas talian, baru-baru ini.


Pada tahun ini, pihak pengurusan PSS DSDN telah mengambil inisiatif pintar dengan membuat penganjuran secara kolaboratif bersama SMK Taman Keramat, Gombak, Selangor.


Program yang dijalankan semasa negara berada di dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID 19 menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi secara maya sepertimana yang disarankan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

ROHANA Penolong PPD Sektor Perancangan Pejabat Pendidikan Daerah Gombak Selangor.


Aplikasi Google Meet menjadi media utama perkumpulan peserta yang terdiri dari pentadbir sekolah, guru, pelajar yang datang dari lebih 50 buah sekolah dan tidak ketinggalan ahli komuniti setempat.


Sementara itu, Pengetua SMKRR,  Yahya Ahmad Puteh telah memberikan pujian kepada pihak pengurusan PSS DSDN SMKRR di bawah pengurusan Sapri Idris selaku Guru Perpustakaan & Media.


“Beliau telah mengambil langkah proaktif dan berani untuk penganjuran secara atas talian ini, sekaligus berjaya mendapatkan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat pendidikan terutamanya, dari seluruh negara” katanya di sini, pada Khamis.


Yahya berharap  kerjasama yang telah dijalin untuk berbagai program semenjak tahun 2018  bersama  SMK Taman Keramat, Gombak Selangor akan terus berkekalan dengan pelbagai program kolaborasi antara kedua-dua buah sekolah.

SEBAHAGIAN peserta yang menyertai program atas talian.


Jelasnya, SMKRR yang terkenal sebagai sebuah Sekolah Komuniti, membuka luas dan mengalu-alukan penyertaan seumpama ini dalam kalangan komuniti dan masyarakat setempat untuk merealisasian kemenjadian murid di SMKRR.


Dalam pada itu, Timbalan PPD Sektor Pembelajaran, Daerah Gombak,  Rohanah Abdul Rahim mengucapkan setinggi-tinggi rasa kagum dan tahniah kepada SMK Rancha-Rancha dan SMK Taman Keramat.


Beliau berkata, kedua-dua sekolah ini berjaya menjadi penganjur bersama di dalam program ilmu yang sangat memberi impak kepada para peserta program.


Beliau turut menegaskan bahawa budaya membaca perlu disuburkan agar Matlamat Pendidikan Negara dapat dicapai.


“Majunya sebuah negara itu bergantung kepada penduduknya yang cintakan kepada budaya membaca” katanya.


Sementara itu, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL), Ustaz Abd Rahman Ahmad,  yang mewakili Pengarah JPWPL, Raisin Saidin dalam ucapan perasmiannya berkata, pihak JPWPL  memberi sokongan penuh penganjuran berterusan pada masa-masa akan datang untuk Program Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit Rentas Sempadan ini.


Tegasnya, program ini berupaya menyumbang kepada pembangunan sahsiah masyarakat melalui nilai murni yang diterjemah melalui pembacaan.


‘Program ini dapat mewujudkan hubungan baik dengan lebih 50 buah sekolah di seluruh negara, ia merupakan langkah inovatif dalam memberi nafas baharu kepada kempen pembacaan selaras dengan Program Dekad Membaca Kebangsaan 2020-2030’, katanya.


Objektif penganjuran program Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit Rentas Sempadan secara atas talian ini untuk menggalakkan peserta memupuk budaya suka membaca berterusan sepanjang hayat, tercapai.


Seramai 35 guru SMKRR, 141 murid SMKRR, ibu bapa SMKRR (9 orang), komuniti Labuan (38), guru dan murid SMART (99) dan komuniti luar (jemputan) seramai 415 yang keseluruhannya berjumlah 737.


Acara kamuncak pada hari itu ialah bacaan secara serentak selama 10 minit dari jam 11.00 pagi hingga 11.10 minit pagi oleh semua peserta program.  TAMAT

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN