Kawasan tadahan air yang rosak akibat pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di Kampug Rumantai
RANAU: Komuniti Kampung Rumantai, Ranau mendesak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan syarikat pembinaan henti cabul hak air asasi selepas mereka mendakwa Projek Pan Borneo di sini memusnahkan kawasan tadahan air bersih mereka.
Bagi penduduk Kampung Rumantai di Ranau, air bukan sekadar komoditi; ia adalah nadi yang mengalirkan kehidupan melalui sistem graviti sejak turun-temurun, namun, sejak Oktober 2025, nadi itu mula tercemar dan rosak oleh lumpur dan batu.
Kehadiran projek pembesaran Lebuhraya Pan Borneo yang sepatutnya membawa kemajuan, kini sebaliknya membawa ancaman kepupusan sumber air bersih buat komuniti Orang Asal di Rumantai.
Jurucakap mewakili penduduk Kampung Rumantai yang terjejas, Wilson bin Kulong berkata, segalanya bermula dengan jaminan rasmi melalui janji di atas kertas dan mesyuarat bersama, namun musnah di lapangan.
“Melalui surat JKR Sabah pada 24 Januari 2025, penduduk dimaklumkan bahawa kawasan tadahan air mereka tidak akan terjejas kerana tidak berada dalam laluan projek. Malah, tinjauan bersama pada 22 Januari 2025 antara JKR, JPKKK, dan pasukan projek WP33 mengesahkan hakikat tersebut.
“Namun, realiti di lapangan Rumantai bercerita sebaliknya. Sejak Oktober lalu, jentera berat milik syarikat swasta yang mengendalikan kerja-kerja pembinaan tapak jalan mula memusnahkan kawasan tadahan air tersebut.
“Aktiviti pembalakan dan pembukaan tanah secara drastik telah mengakibatkan pencemaran air yang ekstrim—keruh, berlumpur, dan tidak lagi selamat untuk digunakan sepenuhnya, apatah lagi diminum.
“Infrastruktur paip graviti yang dibina bersama dengan keringat penduduk kampung Rumantai hancur atas sumbangan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran, Sabah, menyebabkan bekalan air terancam sepenuhnya selama hampir enam bulan,” katanya.

Wilson, Yairman
Wilson berkata, penduduk juga dikelirukan dengan lakonan yang ditunjukkan oleh pihak berkenaan yang menghentikan kerja-kerja di siang hari, namun melakukan operasi ‘ghaib’ di tengah malam.
Menurutnya, satu sesi perbincangan telah diadakan pada pagi 5 Mei 2026 di Tapak WP33 Kg. Taviu bersama JKR, syarikat berkenaan dan komuniti Rumantai untuk mencari jalan keluar.
“Syarikat tersebut, selaku kontraktor secara lisan bersetuju untuk menghentikan kerja-kerja penimbusan di kawasan sensitif tersebut. Namun, apa yang berlaku selepas itu adalah satu penghinaan terhadap kepercayaan penduduk.
“Sekitar jam 7.34 malam pada hari yang sama, ketika penduduk kampung mula berehat, bunyi jentera mula menderu semula. Pihak syarikat dikesan meneruskan kerja-kerja menimbus tanah dan batu di kawasan tadahan air di tengah kegelapan, malah difahamkan berlarutan sehingga jam 3.00 pagi.
“Ini bukan sekadar kerja pembinaan; ini adalah cubaan memusnahkan bukti dan sumber alam secara sembunyi-sembunyi,” katanya.
Seorang lagi penduduk yang tampil bersuara, Yairman Anjingin mendedahkan bahawa dapatan dari pemerhatian yang dibuat keatas syarikat berkenaan mendapati ia menggunakan tenaga pekerja tanpa dokumen dan jentera ‘haram’.
“Keresahan penduduk semakin memuncak apabila melihat tenaga kerja di lapangan. Komuniti kami mendakwa sebahagian besar pekerja yang digerakkan oleh syarikat tersebut adalah warga asing dari China yang disyaki tiada dokumen sah.
“Kehadiran mereka yang sukar dibawa berbincang menyukarkan sebarang komunikasi di tapak. Lebih membimbangkan, terdapat dakwaan bahawa sebahagian jentera berat yang digunakan tidak mempunyai permit atau pendaftaran yang sah daripada pihak berkuasa,” katanya.
Yairman menambah, satu lagi hal yang menjadi luka di dalam melibatkan konflik kepentingan dan demokrasi yang tempang. Katanya, di saat penduduk bergelut dengan kerosakan fizikal, mereka juga berdepan dengan kerosakan kepimpinan.
“Pelantikan PJKKK baru oleh Wakil Rakyat N38 Paginatan melalui sokongan daripada Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) N38 Paginatan dilakukan tanpa melalui proses demokrasi kampung yang telus.

Jentera berat yang didakwa jentera ‘haram’
“Pemimpin yang dilantik secara terus ini bukan sahaja gagal bekerjasama dengan majoriti komuniti, malah didapati merupakan salah seorang pekerja di syarikat swasta yang mengendalikan kerja-kerja pembinaan tapak jalan itu sendiri.
“Wujud konflik kepentingan yang nyata apabila individu yang sepatutnya mempertahankan hak penduduk, kini duduk semeja dengan pihak yang memusnahkan kawasan tadahan air mereka,” katanya.
Justeru, Wilson dan Yairman merayu agar pihak berwajib jangan biarkan penduduk di sini mati kehausan atau meminum air yang kotor.
Menurut mereka, komuniti Kampung Rumantai, Ranau kini berdiri teguh dengan satu suara dengan menuntut agar tindakan segera jangka pendek diambil, di mana syarikat swasta berkenaan mesti menghantar bekalan air bersih setiap hari tanpa gagal dan tanpa alasan. Jangan biarkan penduduk menderita setelah sumber asal mereka dimusnahkan.
Untuk penyelesaian jangka Panjang pula, mereka meminta agar Jabatan Perhutanan Sabah menyegerakan kelulusan tapak tadahan air baru yang telah dikenal pasti oleh penduduk supaya pihak syarikat pembinaan yang dimaksudkan itu dapat memulakan pembinaan semula infrastruktur yang rosak sebagai bentuk ganti rugi penuh.
“Penguatkuasaan undang-undang perlu ditegakkan di mana pihak Imigresen dan pihak berkuasa berkaitan perlu menyiasat status pekerja asing dan permit jentera di tapak WP33.
“Pemulihan demokrasi juga perlu diadakan. Kami mendesak agar kepimpinan kampung dipilih semula secara adil bagi memastikan suara penduduk tidak lagi dibelakangi demi kepentingan peribadi.
“Walaupun pegawai Kesihatan Daerah Ranau telah memberikan sokongan penuh terhadap keperluan bekalan air bersih penduduk, namun tanpa tindakan tegas daripada pihak pemaju dan agensi berkaitan, sokongan itu hanyalah sekadar kata-kata.
“Kami tidak menolak pembangunan, tetapi kami menolak pembangunan yang dibina di atas kemusnahan hak asasi dan nyawa kami,” tegas mereka.



