JOHAN…. SMK Rancha-Rancha bersama hadiah yang dimenangi.
LABUAN: SMK Rancha-Rancha muncul johan Pertandingan Sketsa Rukun Negara 2023 peringkat Wilayah Persekutuan Labuan yang diadakan di Auditorium Mini Anjung Budaya, Perbadanan Labuan, pada Sabtu.
Kumpulan itu yang mempersembahkan sketsa bertajuk Konkurensi Sarmosa membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 serta plak dan sijil.
Naib johan disandang oleh SMK Labuan untuk menerima hadiah wang tunai RM1,500, plak dan sijil, manakala SMK Lajau ditempat ketiga untuk menerima hadiah wang tunai RM1,000, plak dan sijil.
Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan oleh Penolong Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan, Sawal Salleh mewakili Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan, Yusop Mohammad.
Pertandingan Sketsa Rukun Negara yang dianjurkan oleh Jabatan Penerangan Labuan telah disertai oleh lima buah sekolah menengah iaitu SMK Labuan, SMK Rancha-Rancha, SMK Lajau, SMK Labuan dan SMK Mutiara.
Pengarah Jabatan Penerangan Labuan, Azman Sipan berkata, pertandingan yang diadakan setiap tahun itu bertujuan untuk menerapkan rasa cintakan negara selaras dengan konsep Malaysia Madani bersempena Sambutan Bulan Kebangsaan.
Selain itu juga sebagai usaha untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman golongan belia khususnya pelajar untuk menanam semangat patriotisme dan kemerdekaan kepada individu di persekitaran mereka.