ADVERTISEMENTspot_img

Ewon buktikan prinsip melalui tindakan, bukan retorik – Pemuda UPKO

Mohd Sahlan

KOTA KINABALU: Ketua Pemuda UPKO Beaufort, Mohd Sahlan Mohd Thaufick menegaskan Presiden parti itu, Datuk Ewon Benedick telah membuktikan prinsip perjuangannya terhadap Sabah melalui tindakan, bukan sekadar retorik atau slogan.

Beliau berkata, kritikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas, Tham Yun Fook terhadap konsistensi perjuangan Ewon dan kemasukan UPKO ke dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak mengambil kira rekod perjuangan yang telah ditunjukkan oleh Presiden UPKO itu selama ini.

Menurutnya, antara bukti paling jelas ialah kesediaan Ewon melepaskan jawatan Menteri Persekutuan apabila tidak bersetuju dengan keputusan politik di peringkat Persekutuan, satu tindakan yang disifatkannya sebagai manifestasi prinsip yang jarang dilakukan oleh pemimpin politik.

“Berapa ramai pemimpin yang sanggup melepaskan jawatan menteri kerana prinsip? Mudah untuk bercakap mengenai prinsip ketika berada di luar kerajaan, tetapi apabila seseorang sanggup mengorbankan kedudukan dan kuasa demi mempertahankan pendiriannya, itulah ujian sebenar sebuah prinsip.

“Itu bukan cerita atau persepsi. Itu adalah fakta yang boleh dinilai sendiri oleh rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sahlan berkata, rakyat Sabah juga berhak bertanya mengenai rekod perjuangan Tham sebelum beliau menjadi wakil rakyat, khususnya dalam isu-isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), hak Sabah dan autonomi negeri.

Menurutnya, perjuangan mempertahankan hak Sabah tidak bermula apabila seseorang memegang jawatan politik, sebaliknya boleh dilihat melalui pendirian dan sumbangan yang ditunjukkan sebelum seseorang itu berada dalam kedudukan berpengaruh.

“Hari ini beliau begitu lantang bercakap mengenai prinsip dan perjuangan Sabah. Namun sebelum bergelar ADUN, berapa banyak kenyataan yang beliau keluarkan mengenai MA63? Berapa banyak kali beliau bersuara mengenai hak Sabah? Berapa banyak usaha yang beliau lakukan untuk memperjuangkan autonomi negeri?

“Ramai guru dan rakyat biasa di Sabah yang tidak mempunyai jawatan politik tetapi berani bersuara mempertahankan hak rakyat dan negeri ini. Mereka tidak menunggu sehingga menjadi wakil rakyat untuk menunjukkan kecintaan kepada Sabah,” katanya.

Beliau turut menyifatkan kritikan terhadap perjalanan politik UPKO sebagai tidak adil memandangkan Presiden Parti Warisan sendiri pernah berada dalam Kerajaan Persekutuan selama bertahun-tahun sebagai menteri kanan.

“Ukuran mesti sama untuk semua. Jangan gunakan kayu ukur yang berbeza untuk menilai diri sendiri dan pihak lain.

“Jika rekod perjuangan Datuk Ewon mahu dinilai, maka rekod semua pemimpin juga wajar dinilai dengan ukuran yang sama,” katanya.

Sahlan berkata, rakyat Sabah cukup matang untuk membezakan antara pemimpin yang konsisten dalam memperjuangkan hak-hak Sabah dan sebaliknya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan kemasukan UPKO ke dalam GRS adalah langkah untuk memperkukuhkan kesatuan dan kerjasama dalam kalangan parti-parti tempatan Sabah.

Katanya, UPKO percaya masa depan Sabah tidak boleh dibina melalui perpecahan politik yang berterusan, sebaliknya memerlukan kesatuan, persefahaman dan kekuatan politik tempatan yang mampu bersuara dengan satu suara demi kepentingan rakyat.

“Jika benar kita semua memperjuangkan Sabah, maka usaha menyatukan parti-parti tempatan sepatutnya disambut baik, bukannya dipersoalkan.

“Rakyat mendapat manfaat apabila pemimpin dan parti-parti tempatan dapat bekerjasama memperjuangkan hak negeri, memperkukuhkan ekonomi dan membina masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata, sebelum mempertikaikan prinsip perjuangan orang lain, semua pihak wajar menilai terlebih dahulu rekod dan sumbangan masing-masing kepada perjuangan Sabah.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN