ADVERTISEMENTspot_img

Skuad olahraga terus jadi lubuk pingat Sabah

Doriah merangkul dua pingat emas menerusi acara lontar peluru dan lempar cakera kategori F44/F64 wanita pada PARA SUKMA Selangor 2026 di Stadium UiTM Shah Alam pada Isnin.

Oleh: Vitalis G. Bingkasan

KOTA KINABALU: Skuad olahraga terus menjadi lubuk pingat Sabah pada PARA SUKMA Selangor 2026 dengan tambahan 14 emas, lima perak dan lima gangsa sehingga jam 8.00 malam semalam (Isnin).

Ia menjadikan jumlah sumbangan pingat skuad olahraga kepada 19 emas, sembilan perak dan sembilan gangsa selepas memulakan tuaian pingat dengan lima emas, empat perak dan empat gangsa pada Ahad.

Sumbangan terkini skuad olahraga itu sekaligus membantu Sabah terus mendahului carta kutipan pingat dengan jumlah keseluruhan 26 emas, 16 perak dan 15 gangsa pada Isnin.

Skuad akuatik dan tenpin boling menyertai senarai penyumbang baru manakala memanah turut menambah pingatnya.

Akuatik menerusi sukan renang meraih empat emas, tiga perak dan tiga gangsa, tenpin boling merangkul tiga emas, satu perak dan satu gangsa manakala tambahan satu perak dan satu gangsa lagi dari memanah.

Acara olahraga di Stadium UiTM Shah Alam menyaksikan Doriah Poulus merangkul dua pingat emas menerusi acara lontar peluru dan lempar cakera kategori F44/F64 wanita.

Pemenang pingat emas lain ialah Hazmi Bistani (merejam lembing F12 lelaki),
Paijol Benhar (lompat jauh T46/T47 lelaki), Connie Zeno (lontar peluru F40 wanita),
Nurul Sahada Hawani (400m T20 wanita), Bartholomew Marius (lempar cakera F33 lelaki), Eljoe Gotuoh (lompat kijang T20 lelaki), Ivan Jovic Suan (400m T44 lelaki), Mukhriz Ameer Izzudin (400m T47 lelaki), Renodrry Remey (400m T20 lelaki), Jacklon Ganding (lompat jauh T37 lelaki), Elvsius John (lempar cakera F56/F57 lelaki) dan Muhamad Shaban Shahid (100m T45 lelaki).

Ia juga merupakan emas kedua buat Eljoe dan Muhamad Shaban. Pada Ahad, Eljoe menang emas acara lompat jauh manakala Muhamad Shaban raih ema pertama dalam acara 100m.

Pingat perak olahraga dimenangi Shamli Waidi (merejam lembing F35/F36 lelaki),
Heronlee Wong (lontar peluru F37 lelaki), Fredechi Asri (lontar peluru F40 wanita),  Elissieball Jonal (400m T20 wanita) dan Mohd Faizul Nazrin (merejam lembing F41 lelaki).

Pingat gangsa olahraga pula diraih Rudy Benjamin (lontar peluru F37 lelaki), Hadrey Wish Henry (lompat kijang T20 lelaki), Frederica Joirey (lontar peluru F41 wanita), Mariana Sandra Roger (lontar peluru dan lempar cakera F44/F64 wanita).

Sukan renang yang berlangsung di Akuatik Selangor, Shah Alam pula menyakikan skuad renang Sabah meraih emas menerusi Ethan Khoo (100 kuak lentang S14 lelaki), Suriyan Shah (100m kuak dada SB11 lelaki), Abd Halim (100m kuak dada SB8 lelaki) dan Wahyu Eqwal (50m gaya bebas S4/S5 lelaki).

Pingat perak dimenangi Chen Zai Sheng (100m kuak lentang S13 lelaki), pasukan 4x100m rampaian 34 mata lelaki berpasukan dan Shahafiq (400m gaya bebas S8 lelaki) manakala gangsa diraih Lyksther Elvenzo (50m gaya bebas S10 lelaki), Jonathan Wong (50m gaya bebas S4/S5 lelaki) dan pasukan 4x100m rampaian S14 campuran.

Tiga lagi pingat emas diraih skuad tenpin boling menerusi Muhammad Azri Azman (perseorangan lelaki TPB3), Azuan Amirhassan (perseorangan lelaki TPB1) dan Muhammad Haiqal (perseorangan campuran/terbuka TBP2 individu) di Sunway Megalane Subang Jaya.

Pingat perak dimenangi Athirah Azman (perseorangan wanita TPB3) manakala gangsa diraih Rollen Marakim (perseorangan campuran/terbuka TPB1).

Skuad memanah Sabah pula menambah pingat perak menerusi Lidwina Isidore Andilah (50m round compound individu PI 2 wanita) dan gangsa dari Fakrul Azam (50m round compound individu PI 2 lelaki) pada prtandingan yang berlangsung di Kompleks Belia dan Sukan Selangor, Shah Alam.

Sabah mensasarkan 66 pingat emas untuk merampas semula gelaran juara keseluruhan pada temasya itu yang akan berlangsung sehingga 10 September.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN