JAMES… Meninjau harga barang makan di Bataras Kolombong sempena ‘walkabout’ bersama KPDNK
KOTA KINABALU: Majlis Pelancaran dan Walkabout Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baru Cina 2023 telah diadakan di Bataras Hypermarket Kolombong pada petang hari Isnin.
Program tersebut dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR), Datuk James Ratib.
Tujuan program itu diadakan ialah bagi meninjau tahap pematuhan peniaga ke atas penentuan harga maksimum bagi pelaksanaan SHMMP sempena Tahun Baru Cina 2023.
Antara lain, rombongan yang turut melibatkan Timbalan Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri KPDN Sabah, Fredereck Kantod, Pengarah Pejabat KPDN Sabah, Georgie Abas dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah, Dr Hajah Normah Yusop itu adalah bagi memeriksa bekalan barang-barang perlu dan kedudukan harga semasa.
Dalam walkabaout itu, James yang juga Adun Sugut meminta peniaga barang kawalan berjadual seperti Minyak Masak, Gula dan Tepung agar mempastikan bekalan sentiasa mencukupi
Beliau turut menasihatkan peniaga supaya membuat kawalan kendiri ke atas penjualan minyak masak paket (polibeg) saiz 1 kg di mana setiap pelanggan dibenarkan untuk membeli 3 paket seorang. Ini untuk memastikan bekalan minyak paket (1 kg) bersubsidi ini sentiasa ada di pasaran.
Di samping itu, beliau turut meminta para peniaga menjalankan perniagaan secara beretika dan mematuhi semua undang-undang, terutama yang dikuatkuasakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNHEP) serta kementerian-kementerian lain.
James mengingatkan orang awam agar mempunyai kesedaran tentang hak-hak sebagai pengguna serta berperanan sebagai mata dan telinga dalam membantu KPDNHEP mengawalselia aktiviti perniagaan dalam negeri.
SHMMP telah mula dilaksanakan di Negara kita sejak tahun 2000 sebagai sebahagian dari usaha prihatin kerajaan menstabilkan harga barangan keperluan sesuatu perayaan ketika permintaan dijangka meningkat.
Ini bagi membolehkan rakyat Malaysia semua peringkat dan berbilang kaum, agama dan budaya merayakan Hari Perayaan tersebut dalam keadaan ceria dan harmoni.
KPDNHEP melaksanakan SHMMP Tahun Baru Cina 2023 sebagai langkah untuk menstabilkan harga barangan keperluan menjelang perayaan Tahun Baru Cina 2023 yang akan disambut pada 22 Januari 2023 di seluruh negara.
Ia wajar dilaksanakan atas justifikasi permintaan orang ramai terhadap barang- barang tertentu masih tinggi untuk menyambut perayaan tersebut.
Walaupun negara masih dilanda penularan wabak COVID-19, tiada jaminan bahawa peningkatan harga barangan tidak akan berlaku di pasaran walaupun bekalan barangan keperluan semasa adalah mencukupi.
Pelaksanaan kawalan harga maksimum ini tertumpu kepada memastikan harga barangan terpilih diperingkat pasar-pasar basah dan penjaja kecil terkawal kerana menjadi tumpuan pengguna berbelanja pada musim perayaan.
Walau bagaimanapun, di peringkat pasaraya besar harga kebiasaannya lebih terkawal kerana “economies of scale” dan model perniagaan serta persaingan yang berbeza.