ADVERTISEMENTspot_img

Skim bernilai RM8.5 juta ringankan beban pesakit buah pinggang: James

Datuk James Ratib, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, merangkap Exco Kesihatan


KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri memperkenalkan Skim Bantuan Kesihatan SMJ “Sabah Sejahtera” sebagai inisiatif meringankan beban pesakit buah pinggang tahap akhir (End Stage Renal Failure/ESRF) khususnya dari golongan kurang berkemampuan.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR), Datuk James bin Ratib berkata, inisiatif yang dibuat pada tahun 2025 itu dilaksanakan melalui Kementeriannya.

“Jumlah keseluruhan kos yang diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri bagi membiayai skim ini ialah RM8.5 juta; RM4 juta untuk kos rawatan manakala RM4.5 juta untuk pembelian mesin hemodialisis.
 
“Kerajaan Negeri menanggung sepenuhnya kos rawatan hemodialisis di hospital/klink kerajaan dan juga rawatan Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD) di rumah.
 
“Sebanyak 100 buah mesin hemodialisis akan dibekalkan kepada 25 hospital/klinik bagi menggantikan sebahagian daripada 474 mesin yang tidak berfungsi dengan baik,” katanya.
 
Tambah beliau, Skim bantuan ini yang pada fasa pertama difokuskan kepada rawatan pesakit buah pinggang, diharapkan akan dapat diperluaskan kepada perkhidmatan-perkhidmatan rawatan lain berdasarkan keperluan.
 
James yang juga ADUN Sugut dan Exco Kesihatan Negeri Sabah berkata demikian dalam ucapan penggulungannya semasa Mesyuarat Penggal Kelima Tahun 2025 Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-16, April 2025 pada hari Rabu.
 
Sementara itu, beliau turut menyentuh hal-hal lain dalam ucapannya itu.

Beliau memberitahu bahawa Kementerian maklum dan amat prihatin tentang jumlah kes talasemia yang tinggi di negeri Sabah.

Katanya, teknologi rawatan dan perubatan baharu yang dipertimbangkan untuk dibawa masuk ke dalam negara perlu mematuhi prosedur Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu memenuhi piawaian keselamatan, keberkesanan klinikal dan kelestarian kos sebelum diluluskan.

Menurut beliau, proses ini akan memakan masa sekurang-kurangnya dua tahun.
 
Dalam pada itu, James memberitahu bahawa Klinik Kesihatan Jenis 3 Penampang telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), Rolling Plan (RP) dan JKR Sabah sedang menyediakan anggaran kos Preliminary Detailed Abstarct (PDA) yang akan dikemukakan kepada Kementerian Ekonomi.
 
Bagi Hospital Penampang pula, katanya, permohonan pembinaan hospital telahpun dibentangkan di dalam permohonan projek Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13), Rolling Plan (RP) 1 pada 10 Januari 2025 di mana cadangan tapak baharu iaitu di Kampung Maang Penampang telahpun dikemukakan kepada pihak KKM untuk kelulusan tapak.
 
Dalam isu lain, beliau memberitahu bahawa pengambilan natrium yang tinggi sememangnya menyumbang kepada peningkatan tekanan darah, salah satu faktor risiko kepada penyakit buah pinggang kronik (CKD).

Walaubagaimanapun, katanya, tidak ada bukti secara langsung yang mengaitkan pengambilan air masin dengan kejadian CKD atau penyakit buah pinggang tahap akhir (ESRF).

“Namun, kawalan pengambilan garam tetap penting, khususnya bagi individu yang berisiko tinggi,” katanya.
 
Beliau juga memaklumkan bahawa, jumlah pesakit yang menerima rawatan hemodialisis Hospital Duchess Of Kent, Sandakan (HDOK) adalah seramai 125 bagi tahun 2023, 127 bagi tahun 2024 dan setakat bulan Mac 2025 adalah seramai 129 bagi rawatan hemodialisis (HD).

Manakala bagi pesakit yang mendapat rawatan CAPD adalah seramai 48 bagi tahun 2023, 60 bagi tahun 2024 dan setakat bulan Mac 2025 adalah seramai 64.
 
Dari segi peruntukan, ujar James, HDOK ada diberikan peruntukan bagi kerja-kerja naiktaraf dan penyelenggaraan iaitu sebanyak RM22 juta bagi tahun 2025 dan RM1.6 juta bagi tahun 2024.
 
“Kerajaan Negeri melalui Kementerian saya sentiasa berkomunikasi dan bekerjasama dengan KKM untuk menambah bilangan doktor pakar dan petugas kesihatan di Sabah.

“Isunya ialah perjawatan yang tidak mencukupi. Saya sebagai Exco Kesihatan telah mengemukakan keperluan tambahan perjawatan kepada KKM dan KKM masih menunggu keputusan pertambahan jawatan ini dari Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia,” katanya.
 
Untuk tujuan pemantauan projek pembinaan dan naiktaraf hospital pula, beliau memberitahu bahawa Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kerja Raya Sandakan membuat pemantauan bulanan di samping pemantauan secara harian oleh HDOK sendiri.
 
Tambahnya, keperluan tempat letak kereta bertingkat bagi menampung jumlah klien yang tinggi di HDOK diselesaikan dengan beberapa tindakan yang relevan.
 
“Ini termasuk; Meminjam tanah SMJK Tiong Hua berdekatan sehingga bangunan baru siap; Membuat rundingan dengan pihak Majlis Perbandaran Sandakan untuk mendapatkan tanah dan; Melihat kemungkinan penglibatan pihak swasta,” katanya.
 
Beliau turut memaklumkan bahawa, sebanyak 21 latihan dan 45 Pendidikan Kejururawatan Lanjutan (CNE) dirancang untuk setahun melibatkan Kluster Hospital iaitu Hospital Kinabatangan dan Hospital Beluran.
 
James memberitahu bahawa sesebuah hospital perlu memiliki sekurang-kurangnya 40 perkhidmatan kepakaran dan subkepakaran untuk mencapai status Hospital Negeri.
 
Pada masa ini, katanya, Hospital Tawau hanya mempunyai sebanyak 18 kepakaran dan subkepakaran, manakala bagi Hospital Duchess of Kent Sandakan (HDOK) hanya mempunyai 16 kepakaran dan subkepakaran.
 
Hospital Tawau, katanya, sedang dalam proses tender bagi sistem makmal catheterization (cath lab), yang akan memperluaskan lagi keupayaan hospital dalam merawat pesakit jantung secara invasif.
 
Beliau mengaskan bahawa KPMKR sedar akan kesesakan di Klinik Kesihatan Tawau dan mengambil inisiatif untuk menaiktaraf dan melengkapkan semua kemudahan klinik kesihatan berdekatan supaya tumpuan pesakit boleh dibahagikan kepada beberapa lokasi klinik.
 
Beliau amat bersukacita memaklumkan bahawa lapan unit mesin hemodialisis akan diagihkan ke Hospital Tawau.
 
“KKM juga telah meluluskan penubuhan satu unit Invasive Cardiac Lab (ICL) di Hospital Tawau yang sedang dalam proses tender bagi sistem makmal catheterization (cath lab).

“Ini akan memperluaskan lagi keupayaan hospital dalam merawat pesakit jantung secara invasif. Kelulusan tersebut diberikan di bawah peruntukan pembangunan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Rolling Plan Ke-5 (RP5), melalui surat bertarikh 12 Mac 2025. 
 
“Pelaksanaan projek ini dijadualkan bagi tahun 2025 hingga 2026, selaras dengan usaha KKM memperkukuhkan perkhidmatan rawatan kardiologi invasif di Pantai Timur Sabah,” katanya.
 
Tambah beliau, tidak semua fasiliti kesihatan di Negeri Sabah mempunyai perkhidmatan pembersihan dan keselamatan.

“Menyedari hakikat ini, Kementerian saya mengambil berat isu ini dan telah mengemukakan keperluan melalui JKNS untuk meluaskan perkhidmatan pembersihan dan keselamatan ke semua fasiliti kepada pihak KKM,” katanya.
 
Tambahnya lagi, KPMKR telah bersetuju memberikan mesin hemodialisis kepada Klinik Kesihatan Kemabong berdasarkan keperluan masakini pesakit di Kemabong dan pegawai akan dihantar bagi melihat keperluan lain di Klinik ini sebelum mesin dibekalkan.
 
Sehubungan dengan itu, katanya, klinik-klinik lain yang mempunyai keperluan yang tinggi untuk rawatan hemodialisis juga akan dipertimbangkan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN