(JUARA) SK. Paus / Aryayif, Penjaga Gol Terbaik(jalur merah) dan Asyaarysha, Pemain Paling Bernilai (jersi 6)
RANAU: Sekolah Kebangsaan Paus mencipta sejarah Kejohanan Bola Sepak Bawah 12 Tahun Peringkat Zon Timur apabila berjaya mengekalkan rekod tanpa sebarang kekalahan sepanjang perlawanan hingga ke peringkat final yang berlangsung di Padang SK. Tampios baru-baru ini.
Pada perlawanan awal peringkat Kumpulan A, SK. Paus berjaya menundukkan SK. Miruru A dengan jaringan 5-0 seterusnya SK. Paginatan B 1-0, SK. Tinanom 1-0, SK. Tampios 3-0 dan SK. Kananapon 3-0.
Pada peringkat separuh akhir pertama, SK. Paus sekali lagi bertindak cemerlang apabila berjaya menewaskan pasukan pilihan SK. Miruru B dengan jaringan 1-0. Gol dijaringkan melalui sepakan penalti yang disempurnakan oleh Muhd. Asyaarysha Azman sekaligus dianugerahkan sebagai pemain paling bernilai sepanjang perlawanan. Asyaarysha yang memakai jersi nombor 6 mendapat sorakan ‘Messi Zon Timur’ kerana sering mengucarkacirkan barisan pertahanan lawan dengan kelincahan kaki kirinya yang mirip Lionel Messi.
Bebanding seteru mereka SK. Paginatan B, rekod sepanjang perlawanan menyaksikan pasukan SK. Paginatan B menang ke atas SK. Miruru A dengan jaringan 2-0 diikuti SK. Tinanom seri 1-1, SK. Tampios 1-0, SK. Kananapon 3-0 dan tewas kepada SK. Paus 0-1.
Pada pusingan separuh akhir kedua, SK. Paginatan B berjaya menundukkan SK. Sagindai dengan jaringan 4-0.

(NAIB JUARA) SK. Paginatan B / Eben, Penyerang Terbaik (memegang piala)
Pertembungan kedua-dua pasukan ini di peringkat akhir agak sengit apabila masing-masing mempunyai peluang menjaringkan gol namun kurang bernasib baik. Walaupun keadaan hujan ketika perlawanan namun semangat untuk mencipta kejuaraan di padang SK. Tampios tetap tinggi di kalangan pemain kedua belah pihak. Kedudukan terikat tanpa sebarang jaringan sehingga tamat perlawanan.
Dalam penentuan sepakan penalti, SK. Paginatan B hampir-hampir berjaya memenangi perlawanan namun ketangkasan penjaga gol SK. Paus yang turut dinobatkan sebagai penjaga gol terbaik, Aryayif Dualis berjaya menangkap kemas bola yang ditendang ke arah kiri gawang gol.
Impian SK. Paginatan B untuk menjadi juara akhirnya dileburkan oleh pemain pertahanan kiri SK. Paus, Edry Hilery apabila pemain ini selaku penendang terakhir berjaya menyumbat masuk bola ke arah kanan gawang gol tanpa sempat ditepis keluar oleh penjaga gol SK. Paginatan.
Dengan kemenangan itu, SK. Paus dinobatkan sebagai juara manakala naib juara SK. Paginatan B. Tempat ketiga bersama ialah SK. Sagindai dan SK. Miuru B.
Sementara itu pemberian anugerah lain ialah Penyerang Terbaik yang dimenangi oleh Eben Haezer Markly Markus (SK. Paginatan B), Pertahanan Terbaik, Ellyron Fidly (SK. Miruru B) dan Pemain Tengah Terbaik dan Penjaring Terbanyak (12 gol) Daisuki Herman (SK. Miruru B).
Hadiah dalam bentuk sijil, medal dan piala telah disampaikan oleh Samsuddin Ismail (Penolong kanan HEM SK. Tampios) dan Dourrey Dulamid (Penolong Kanan Kokurikulum SK. Tampios).
Para pengadil yang dijemput khas mengadili kejohanan tersebut ialah Raffdy Jaip, Arthur Maurice (pengadil perlawanan), Mohd Arif Abdul Rahman dan Mohd Azarin Nazwi (penjaga garisan).