RANAU: Sekolah Kebangsaan Nalapak akan mengelolakan Pertandingan Nyanyian Solo dan Duet atau dikenali Festival Rancak Seni Kategori Sekolah Rendah, Peringkat Zon Timur pada 1 September ini bertempat di Dewan Komuniti Kampung Kebuh Baru.
Keputusan dicapai melalui satu mesyuarat khas yang dihadiri 10 buah sekolah dalam Zon Timur yang dipengerusikan oleh Guru Besar SK. Nalapak, Jaipin Kimburon.
Dalam mesyuarat tersebut semua sekolah di Zon Timur bersetuju mengutip wang berjumlah RM10.00 bagi setiap seorang guru di sekolah untuk menampung kos program tersebut.
Ketika ditemui media Borneo Daily Bulletin, Jaipin berkata semua ahli mesyuarat bersetuju mengadakan pertandingan secara terbuka pada tahun ini.
“Disebabkan pandemik dua tahun lalu, kebanyakan aktiviti pertandingan secara bersemuka telah ditiadakan. Pada tahun ini atas permintaan ahli mesyuarat, pertandingan kembali secara bersemuka agar peserta lebih berkeyakinan mempersembahkan bakat masing-masing,” jelas Jaipin.
Jaipin berkata pihaknya juga sudah membuat persediaan awal dan telahpun membentuk Ahli Jawatankuasa Rancak Seni peringkat sekolah bagi melancarkan perjalanan majlis.
Katanya lagi, Festival Rancak Seni Peringkat Zon Timur pada tahun ini dijangka akan dirasmikan oleh Penolong Pegawai Pendidikan Daerah, Unit Pembangunan Bakat Murid (Kokurikulum Dan Kesenian), Sektor Pembangunan Murid, Pejabat Pendidikan Daerah Ranau, Jaminus Agang.
Dalam pada itu, Penolong Kanan Kokurikulum, Mohd Zulfazly Mohd Rashid mengingatkan tarikh penghantaran lagu (minus one) bersama sekurang-kurangnya satu salinan lirik mengikut kategori hendaklah diserahkan kepada urusetia, Razwan Garidi (0138772779) pada atau sebelum 30 Ogos untuk tujuan penyusunan lagu. Sementara sekolah yang belum melengkapkan borang penyertaan (google form) dikehendaki mengisi segera selewat-lewatnya pada tarikh yang sama. Kutipan juga perlu diserahkan segera selewat-lewatnya 30 Ogos untuk tujuan penyediaan banner, stand medal, P.A.Sistem dan jamuan. Giliran peserta telah pun diundi pada mesyuarat tersebut.