31 C
Kota Kinabalu
Isnin, April 21, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

SK. NALAPAK DAN SK.PAUS JUARA BOLA BALING, ZON TIMUR RANGKUL JUARA BOLA SEPAK

SK. Nalapak (mencangkung) dan SK. Paus (berdiri) bersama para pegawai pengelola  kejohanan

RANAU: Pasukan Bola Baling Sekolah Kebangsaan Nalapak kategori lelaki dan Sekolah Kebangsaan Paus kategori perempuan muncul juara Kejohanan Bola Baling Bawah 12 Peringkat Zon Timur yang berlangsung di padang SK. Nalapak pada pagi hari ini.

Pada masa pertama perlawanan akhir di antara pasukan SK. Nalapak menentang pasukan SK. Miruru menyaksikan SK. Nalapak bermain corak menyerang ke arah pintu gol SK. Miruru. Penguasaan permainan SK. Nalapak menghasilkan beberapa percubaan menarik namun berjaya dihadang oleh penjaga gol SK. Miruru.

Pada minit ke 5, kombinasi satu-satu antara Arshavin (jersi 6), Rex (jersi 2) dan Ray (jersi 5) berjaya memperdayakan pertanahan SK. Miruru. Ray mendapat hantaran tepat daripada Arshavin sebelum berjaya meledakkan gol pertama pasukannya.Gol kedua dan ketiga dihasilkan pada minit ke 6 dan ke 7 melalui balingan jarak jauh Arshavin. Di minit-minit akhir pelawanan Arshavin yang menerima hantaran jauh daripada Hafizul berjaya menjaringkan gol hatrik nya yang ke 3.

Pada separuh masa kedua, pasukan SK. Nalapak berjaya menambah gol yang ke 5 sekali lagi menerusi Arshavin. Namun selepas itu rentak permainan SK. Nalapak agak terganggu apabila seorang pemain mereka diarahkan keluar (2 minit) manakala Ray yang mengalami kecederaan jari tangan digantikan oleh Alves.Pasukan SK. Miruru tidak mensia-siakan peluang yang ada apabila pada minit ke 6 dan ke 7 akhirnya mereka berjaya menjaringkan 2 gol menerusi Danny yang memakai jersi 12 dan Enelldon (jersi 10). Perlawanan ditamatkan dengan kemenangan memihak kepada SK. Nalapak dengan jaringan 5-2.

Dalam satu lagi perlawanan akhir kategori perempuan di antara SK. Paus menentang SK. Paginatan menyaksikan,SK. Paus juga mendominasi permainan. Teknik hantaran pantas dan tepat sambil menyerang di bahagian tengah sering mengucar-kacirkan pertahanan lawan.

Pada minit ke 4, Elysabeth (jersi 5) mendapat hantaran tepat daripada Jurianah (jersi 7) di luar kotak garisan berjaya meledakkan gol pertama ke jaring lawan. Beberapa minit selepas itu sekali lagi Elysabeth berjaya menjaringkan golnya yang kedua.

Gol ketiga dihasilkan pada minit ke 5 separuh masa kedua sekali lagi menerusi penyerang berbisa SK. Paus, Elysabeth. Pada minit akhir, Elysabeth menambah gol hatriknya yang keempat sekaligus menjadikan pasukannya muncul juara.

Tempat ketiga bersama kategori perempuan dimenangi oleh pasukan SK. Nalapak / SK. Miruru manakala kategori lelaki, SK. Kananapon / SK. Paginatan.

Sijil penghargaan disampaikan oleh Guru Besar SK. Nalapak, Jaipin Kimburon dan Guru Besar SK. Kananapon, Ng Moi Lee.

Jaipin dan Ng menyampaikan sijil kepada juara (SK. Nalapak) dan (SK. Paus) 

Sementara itu Pasukan bola sepak Zon Timur berjaya mengalahkan Zon Tengah dengan jaringan 2-1 di perlawanan akhir Kejohanan Bola Sepak Bawah 12 Peringkat Daerah yang berlangsung di padang Sekolah Kebangsaan Togop Darat baru-baru ini.

Pada pusingan awal Kumpulan B, Zon Timur berjaya mengekalkan rekod tanpa ditewaskan oleh pasukan lain dengan menumpaskan Zon Ulu Sugut (1-0), Zon Garas (3-0) dan Zon Utara (1-0).

Turut mengekalkan rekod tanpa kalah ialah seteru Zon Timur di peringkat akhir iaitu Zon Tengah. Zon Tengah yang diundi dalam Kumpulan A juga berjaya mengalahkan 3 pasukan lain iaitu Zon Kinabalu (3-0), Zon Selatan (5-0) dan Zon Pekan (2-1).

Pada pusingan separuh akhir, Zon Tengah mengalahkan Zon Utara (2-0) manakala Zon Timur menumpaskan Zon Kinabalu (3-1).

JUARA…para pemain Zon Timur bersama guru pengiring dan jurulatih

Pertemuan sengit di perlawanan akhir antara Zon Timur dan Zon Tengah menyaksikan Zon Tengah berjaya merobek lebih awal gawang gol Zon Timur pada separuh masa pertama. Tergamam dengan gol tersebut, pasukan Zon Timur tidak berputus asa terus mengatur strategi hingga berjaya menyamakan jaringan sebelum meledakkan gol kedua sekaligus meranapkan harapan Zon Tengah untuk menjuarai kejohanan itu.

Dalam satu lagi perlawanan penentuan tempat ketiga, Zon Kinabalu berjaya mengalahkan Zon Utara (1-0).

Keputusan rasmi, Zon Timur muncul juara, Zon Tengah (Naib Juara) dan Zon Kinabalu (Tempat Ketiga).

Para pemenang menerima sijil dan medal daripada pihak penganjur.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN