TAMBUNAN: Usaha memperkukuh pendigitalan pendidikan di kawasan luar bandar terus diperkasa apabila Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Namadan menerima sumbangan sebuah iBoard (Smartboard) dan 35 unit Chromebook daripada Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Tambunan, Datuk Victor P. Paut.
Sumbangan itu bertujuan meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) melalui penggunaan teknologi digital yang lebih interaktif, sekali gus menyediakan persekitaran pembelajaran setanding dengan sekolah di kawasan bandar.
Penyerahan peralatan berkenaan diwakili Ben Adner dan Farah yang turut menyelia kerja pemasangan serta ujian sistem sebelum ia digunakan sepenuhnya oleh pihak sekolah.
iBoard merupakan papan putih digital pintar yang menggabungkan fungsi televisyen, komputer dan papan putih dalam satu peranti, membolehkan guru memaparkan bahan pembelajaran, memainkan video, melayari internet serta menulis secara langsung pada skrin menggunakan jari atau pen digital.

Chromebook
Sebanyak 35 unit Chromebook yang disumbangkan pula berfungsi sebagai peranti sokongan yang boleh dihubungkan secara serentak dengan iBoard bagi memudahkan pelaksanaan aktiviti pembelajaran berasaskan teknologi.
Jurucakap SK Kuala Namadan berkata kemudahan itu dijangka menjadikan sesi PdP lebih menarik, interaktif dan mudah difahami oleh murid, sekali gus membantu meningkatkan keberkesanan penyampaian ilmu.
Menurutnya, inisiatif berkenaan amat bermakna khususnya bagi sekolah luar bandar kerana membuka lebih banyak peluang kepada murid untuk menikmati pengalaman pembelajaran digital yang berkualiti.
“Pihak sekolah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Victor P. Paut atas sumbangan iBoard dan Chromebook yang pastinya memberi manfaat besar kepada warga sekolah,” katanya.
Sementara itu, Victor ketika dihubungi berharap kemudahan yang disalurkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi memperkasakan pembelajaran digital serta meningkatkan mutu pendidikan di sekolah berkenaan.
Beliau berkata pelaburan dalam pendidikan, khususnya penyediaan kemudahan teknologi kepada murid di peringkat sekolah, merupakan langkah penting bagi melahirkan generasi yang berilmu, kreatif, berdaya saing dan celik teknologi selaras dengan keperluan era digital.



