ADVERTISEMENTspot_img

HOSPITAL GANTIAN RANAU DIJANGKA PERKUKUH AKSES PERKHIDMATAN KESIHATAN BERKUALITI

CENDERAMATA..Masidi (kanan) memerima cendermata disampaikan William

KOTA KINABALU: Pembinaan Hospital Gantian Ranau yang sedang diusahakan menerusi kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan Kerajaan Negeri dijangka menjadi pemangkin kepada peningkatan akses penduduk daerah itu terhadap perkhidmatan kesihatan yang lebih moden, selesa dan berkualiti.

Pengarah JKNS, Datuk Dr. William Gotulis berkata projek berimpak tinggi itu merupakan antara keutamaan jabatan dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan di Ranau sejajar dengan pertambahan populasi serta peningkatan keperluan rawatan.

Beliau berkata hospital gantian berkenaan akan dilengkapi pelbagai kemudahan moden dan komprehensif, termasuk kapasiti lebih besar bagi menampung pertambahan jumlah pesakit, sekali gus mengurangkan kesesakan di Hospital Ranau sedia ada.

“Projek ini bukan sahaja meningkatkan kesejahteraan rakyat, malah memperkukuh keupayaan sistem kesihatan awam di kawasan luar bandar dan pedalaman, selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri serta Kerajaan Persekutuan untuk memastikan setiap rakyat menikmati akses kepada kemudahan kesihatan yang berkualiti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengetuai rombongan JKNS mengadakan kunjungan hormat kepada Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, baru-baru ini.

Dalam kunjungan itu, Masidi diberikan taklimat mengenai perkembangan semasa projek Hospital Gantian Ranau, termasuk status perancangan serta cadangan tapak pembinaan hospital berkenaan.

Masidi menyambut baik usaha merealisasikan projek itu dan menyifatkannya sebagai inisiatif penting yang bakal memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan di Ranau, sekali gus memberi manfaat kepada penduduk daerah berkenaan serta kawasan sekitarnya.

Selain meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan, hospital baharu itu dijangka menjadi pemangkin pembangunan sosioekonomi setempat melalui penambahbaikan infrastruktur, pewujudan peluang pekerjaan serta pertumbuhan aktiviti ekonomi yang mampu memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan JKNS atas komitmen berterusan dalam merealisasikan projek berkenaan, di samping berharap pembinaannya dapat dilaksanakan mengikut jadual supaya penduduk Ranau dapat menikmati kemudahan kesihatan yang lebih baik pada masa hadapan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN