ADVERTISEMENTspot_img

Ewon salur RM100,000 bantu pembinaan semula Gereja SIB Taginambur

Ewon (tiga dari kanan) menyampaikan replika cek bernilai RM100,000 kepada Ketua Pembangunan Sidang SIB Taginambur, Penatua Justin Linsayan (tiga dari kiri).

KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick menyalurkan sumbangan khas sebanyak RM100,000 bagi membantu pembinaan semula bangunan Gereja Sidang Injil Borneo (SIB) Taginambur yang kini sedang dilaksanakan.

Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berharap peruntukan khas Menteri itu dapat menambah dana gereja bagi meneruskan serta menyiapkan projek pembinaan semula rumah ibadat berkenaan.

Beliau berkata, sebagai wakil rakyat Kadamaian, menjadi tanggungjawabnya membantu memenuhi keperluan pembangunan rumah-rumah ibadat di kawasan Kadamaian.

“Saya komited untuk terus menjadi sebahagian daripada penyelesaian kepada keperluan pembangunan rumah-rumah ibadat di Kadamaian,” katanya selepas mengadakan kunjungan dan penyampaian replika cek bernilai RM100,000, di dewan gereja itu, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ewon telah mengunjungi Gereja SIB Taginambur dan diberikan taklimat mengenai perkembangan pembinaan semula bangunan gereja itu serta keperluan dana tambahan bagi menyiapkan projek berkenaan.

“Saya akan terus berusaha membantu gereja ini mendapatkan sokongan dana yang diperlukan, termasuk berbincang dengan YAB Ketua Menteri Sabah mengenai keperluan pembiayaan tambahan.

“Saya juga mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin bersama-sama menyumbang bagi membantu menyiapkan pembinaan gereja ini,” katanya.

Beliau berkata, selain Gereja SIB Taginambur, beberapa gereja lain turut menerima bantuan daripada peruntukan yang disalurkannya sebelum ini, termasuk Gereja SIB Beverly dan Gereja SIB Donggongon menerusi peruntukan Parlimen Penampang.

Sementara itu, Penatua SIB Taginambur, Simbi Gilingon, berkata sumbangan yang diterima sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban kewangan gereja dalam usaha menyiapkan pembinaan bangunan baharu itu.

“Pihak gereja amat berterima kasih atas sumbangan ini kerana dapat membantu kami meneruskan pembinaan gereja ini,” katanya.

Ketua Pembangunan Sidang SIB Taginambur, Penatua Justin Linsayan pula menyifatkan sumbangan itu sebagai bukti keprihatinan Ewon terhadap keperluan rakyat di Kadamaian.

“Terima kasih kepada Datuk Ewon atas sumbangan RM100,000 kepada gereja ini. Kami berbangga mempunyai seorang pemimpin yang amat prihatin terhadap keperluan rakyat Kadamaian.

“Beliau bukan sahaja mengambil berat mengenai pembangunan gereja, malah pembangunan keseluruhan kawasan Kadamaian,” katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN