Ewon ketika menyempurnakan Program Santai Kaamatan, Program Keibubapaan Digital dan Smart Sabah 2.0 di Kampung Bukit Bendera, sekali gus merasmikan Dewan Terbuka.
KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick komited menyediakan kemudahan dewan di setiap kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian bagi memenuhi keperluan penduduk, selaras dengan Pelan Pembangunan Kadamaian.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata, penyediaan kemudahan itu sama ada dewan terbuka atau dewan tertutup akan dilaksanakan secara berperingkat.
“Sebagai wakil rakyat Kadamaian, menjadi tanggungjawab saya menyediakan kemudahan yang diperlukan rakyat di kawasan ini termasuk penyediaan dewan bagi memastikan setiap kampung mempunyai ruang yang selesa untuk pelaksanaan pelbagai program dan aktiviti kemasyarakatan.
“Dewan Terbuka Kampung Bukit Bendera ini adalah antara kemudahan yang kita bina menggunakan peruntukan ADUN Kadamaian sebelum ini. Saya akan berusaha supaya dewan ini dapat dinaik taraf menjadi dewan tertutup dengan pelbagai kemudahan lain secara berperingkat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Program Santai Kaamatan, Program Keibubapaan Digital dan Smart Sabah 2.0 di Kampung Bukit Bendera, sekali gus merasmikan Dewan Terbuka kampung itu, di sini, hari ini.
Ewon berkata, pembinaan dewan terbuka itu dilaksanakan tahun lalu bagi memenuhi keperluan penduduk kampung yang sekian lama memerlukan kemudahan itu.
“Pada tahun lalu, saya menyediakan peruntukan pembinaan dewan terbuka ini yang sudah lama diperlukan oleh komuniti kampung. Hari ini, dewan ini bukan sahaja digunakan untuk program seperti ini, malah pelbagai lagi aktiviti kemasyarakatan,” katanya.
Mengenai program itu, beliau menghargai kerjasama Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) serta PEMADAM Negeri Sabah dalam menjayakan program berkenaan.
Sempena program itu, beliau turut menyampaikan sumbangan Sentuhan Kasih ADUN Kadamaian berjumlah RM20,000 kepada Kampung Bukit Bendera bagi membiayai kerja-kerja menaik taraf kemudahan dewan berkenaan.
Sementara itu, penduduk Kampung Bukit Bendera, Matiah Mudin berkata, pembinaan dewan terbuka itu memberi manfaat besar kepada penduduk kerana sebelum ini mereka hanya bergantung kepada kanopi setiap kali mengadakan program atau majlis.
“Dulu kami tidak mempunyai dewan. Kalau ada program, kami hanya menggunakan kanopi. Sekarang kami sudah mempunyai dewan terbuka yang membolehkan pelbagai aktiviti komuniti seperti sambutan Kaamatan, bengkel dan program kemasyarakatan diadakan dengan lebih selesa.
“Kami bersyukur dengan kemudahan ini dan berharap akan ada lagi peruntukan pada masa hadapan untuk menaik taraf dewan ini menjadi dewan tertutup yang lengkap dengan dinding, pentas serta kemudahan lain,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Junus Bangaron, turut merakamkan penghargaan kepada Ewon atas sumbangan RM20,000 yang akan digunakan bagi melaksanakan kerja-kerja pendawaian elektrik di dewan terbuka itu.
Katanya, sumbangan itu akan melengkapkan lagi kemudahan dewan sekali gus memberi keselesaan kepada penduduk untuk menganjurkan pelbagai aktiviti dan program komuniti pada masa akan datang.



