Gambar hiasan
KOTA KINABALU: Sejumlah 69,910 buah kenderaan diperiksa melibatkan 150 sekatan jalan raya di Sabah hari ini.
Dalam kenyataan harian Menteri Kerajaan Tempatan Dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, daripada jumlah tersebut, sebanyak 785 buah kenderaan diarah berpatah balik.
Katanya, hari ini turut mencatatkan sebanyak 84 kompaun dikeluarkan seluruh Sabah atas kesalahan melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19.
“Gagal memakai pelitup hidung dan mulut termasuk tidak memakai dengan betul, sebanyak 25 kompaun dikeluarkan, manakala pemilik premis gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran pelanggan turut mencatatkan 25 kompaun.
“Kesalahan lain yang dikompaun hari ini ialah, premis beroperasi lebih masa tanpa kebenaran, 5 orang, tiada penjarakan fizikal, 7 orang, membawa penumpang berlebihan, 6 orang dan keluar rumah tanpa alasan munasabah seramai 16 orang,” jelasnya.
Masidi yang juga jurucakap kerajaan negeri berkaitan COVID-19, berkata penguatkuasaan SOP turut dijalankan di perairan laut Sabah oleh Pasukan Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Penguatkuasaan SOP melibatkan 118 pemeriksaan di kawasan Pantai Timur dan 31 pemeriksaan di perairan Kota Kinabalu dan Labuan.
Menurutnya, hasil pemeriksaan, tiada tangkapan dibuat. -BDB