Dr. Jeffrey(tiga dari kanan)bersama Robert (empat dari kanan)menunjukkan isyarat baik selepas menandatangani tiga plak perasmian Tagal Tradisi tiga kampung.
KENINGAU:Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan berkata, pelaksanaan Sistem Tagal dapat mendisiplinkan penduduk terhadap penjagaan ekosistem sungai dan dapat memelihara kelestarian sungai serta hidupan didalamnya.
Dr Jeffrey yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan berharap Sistem Tagal dapat menghasilkan tarikan baharu berasaskan sungai hingga ke peringkat antarabangsa dan diketengahkan sebagai satu produk pelancongan yang berpotensi menarik perhatian pelancong dari dalam dan luar negara.
Beliau berkata demikian semasa berucap melancarkan Tagal Tradisi serentak untuk tiga buah kampung iaitu Kampung Gasabon, Kampung Sungoi, Kampung Kapayan Lama, Apin-Apin di Dewan Terbuka Kampung Kapayan Lama hari ini.
Dr. Jeffrey bersama Robert melepaskan anak ikan di Sungai Pegalan.
Pada program yang turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Bingkor yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Robert Tawik @ Nordin itu, Dr Jeffrey yang merupakan ADUN Tambunan dan Ahli Parlimen Keningau menandatangani tiga plak sebagai tanda perasmian untuk Pelancaran Tagal di tiga kampung serta melepaskan 2,000 ekor benih Ikan Lampam di Sungai Pegalan.
Hadir sama Pengarah Perikanan Sabah Godfrey Kissey, Pegawai Daerah Keningau Walter Kenson, Ketua Polis Daerah Keningau DSP Shahrudin Mat Husain, Ketua Daerah Daniel Palangi, Penguasa Perikanan Wilayah Keningau, Harun Duin, Pegawai Pertanian Daerah Keningau Norazman Jamdin, PPM Bingkor Junior Fred, ketua-ketua jabatan dan pemimpin-pemimpin masyarakat kampung yang terlibat.