27.1 C
Kota Kinabalu
Rabu, September 17, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Sistem Tagal Kampung Monsok Tengah terus diperkasa

Harry Paulus menunjukkan hasil tangkapan.

Oleh: Herry Kunjan

TAMBUNAN: Sistem tagal yang diamalkan sejak sekian lama di Kampung Monsok Tengah, terus menunjukkan keberkesanannya sebagai langkah pemuliharaan ekosistem sungai.

Salah seorang ahli jawatankuasa Tagal Kg. Monsok Tengah, Harry Paulus @ Kaie, berkata sistem ini bukan sekadar mekanisme larangan menangkap ikan, tetapi satu bentuk pengurusan sumber secara lestari yang melibatkan penglibatan masyarakat secara langsung.

Beliau berkata, dalam konteks Kampung Monsok Tengah, kejayaan sistem ini turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi komuniti melalui aktiviti ekopelancongan kecil-kecilan dan jualan hasil tangkapan secara terkawal.

“Tagal bukan hanya tentang menangkap ikan dalam tempoh masa tertentu, tetapi ia simbol semangat gotong-royong, tanggungjawab bersama, dan penghargaan terhadap alam ciptaan Tuhan

“Jika kita tidak pelihara sungai, generasi anak cucu kita kelak hanya akan mendengar cerita, tidak akan merasai keindahan dan hasilnya,” katanya.

HASIL TAGAL..Sebahagian hasil tangkapan yang akan diagihkan kepada penduduk Kg Monsok Tengah

Sementara itu, Pengerusi Tagal Kg Monsok Tengah, Pius Kiob, berkata usaha mengekalkan sistem ini memerlukan kesedaran dan disiplin tinggi dalam kalangan penduduk.

Sehubungan itu katanya, taklimat dan perjumpaan berkala sentiasa diadakan bagi memastikan semua ahli memahami peraturan dan tanggungjawab mereka.

“Tanpa kerjasama masyarakat, sistem ini tidak akan berjaya

“Program seperti ini diharap dapat menjadi model rujukan kepada kampung-kampung lain dalam memelihara sumber semula jadi secara mampan,” katanya kepada media.

Sebahagian AJK Tagal dan penduduk Kg Monsok Tengah ketika aktiviti buka tagal, baru-baru ini



Katanya lagi, dengan perubahan iklim dan tekanan terhadap alam sekitar semakin meningkat, sistem tagal dilihat sebagai antara pendekatan akar umbi yang berkesan dan mampu bertahan.

Justeru Pius berharap agar pihak berwajib dapat terus menyokong usaha ini melalui latihan, bantuan teknikal dan insentif komuniti.

Terdahulu, seramai 37 ahli tagal berdaftar telah menyertai aktiviti buka tagal yang berlangsung dalam suasana penuh semangat kekitaan dan kerjasama komuniti, baru-baru ini.

Dianggarkan hasil tangkapan pada masa itu mencecah lebih 500 kilogram, dan diagihkan secara adil kepada semua ahli yang terlibat sebagai ganjaran atas komitmen mereka dalam menjaga kawasan tagal sepanjang tempoh larangan menangkap ikan.

Aktiviti tersebut diadakan dua tahun sekali bergantung kepada keadaan cuaca serta status pemulihan semula jadi sungai.


ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN