Abidin (tengah) dan lain-lain menunjukkan isyarat bagus terhadap sistem air graviti yang dibina di Kg Kebuh oleh Petron Borneo
RANAU: Ratusan penduduk di Kg Kebuh dan kawasan berhampirannya menarik nafas lega apabila sistem perpaipan air graviti di sini siap sepenuhnya dan dirasmikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir.
Bagi pihak penduduk Kg Kebuh, beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada Petron Borneo kerana berjaya melancarkan Program CSR mereka di Kg Kebuh dan Kg Kipaliu, yang diketuai oleh Shaliza Sidek, Ketua Perniagaan Runcit Petron Malaysia dengan kerjasama RTM.
Menurut beliau, program tanggungjawab sosial emasyarakan atau CSR oleh Petron Borneo itu sudah tentu dapat menjadi pelengkap kepada usaha gigih wakil rakyat di sini untuk menyediakan bekalan air bersih kepada penduduk kampung.
“Diharap CSR ini dikembangkan ke lain-lain kampung di DUN Paginatan.
“Diharapkan juga akan ada lagi penglibatan lebih banyak syarikat-syarikat yang melaksanakan tanggungjawab sosial mereka khususnya di kawasan DUN Paginatan,” katanya.
Tambah beliau, bekalan Air graviti adalah keperluan utama penduduk kampung, walaupun terdapat bekalan air terawat daripada Jabatan Air.
“Ini disebabkan bekalan air daripada Jabatan Air tersebut tidak menentu dan selalunya bekalan tidak dapat disalurkan ketika hujan kuat dan kemarau panjang.
“Justru, kebergantungan masyarakat kampung kepada sistem Air graviti masih menjadi pilihan utama penduduk di kawasan ini,” katanya.
Abidin yang juga ADUN Paginatan berkata demikian semasa merasmikan Majlis Jelajah Aspirasi Malaysia Kg. Kebuh Anjuran Petron Borneo dengan kerjasama RTM yang diadakan di sini pada hari Jumaat.
Antara Program yang dilaksanakan ialah pembinaan sistem air graviti, pemeriksaan kesihatan dan gigi, sumbangan pek makanan dan aktiviti kanak-kanak.
“Daerah Ranau mempunyai banyak destinasi pelacongan, terutama di Mukim Nalapak dimana terletaknya Pusat Pelancongan Sabah Tea dan Tagal Luanti yang amat terkenal.
“Diharap Jelajah Aspirasi Malaysia akan terus dilaksanakan di Daerah Ranau, khususnya di Mukim Nalapak supaya aktiviti pelancongan dapat dipergiatkan lagi,” katanya.
Mengenai sambutan Hari Kebangsaan, Abidin berkata, baru baru ini sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah diraikan bersama-sama pada 30hb Ogos yang lalu setelah 31hb Ogos diiktiraf oleh Kerajaan Sabah sebagai Hari Kemerdekaan Sabah atau lebih dikenali sebagai ‘Sabah Day’.
“Kemerdekaan adalah satu anugerah yang tidak ternilai harganya dan harus dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.
“Erti kemerdekaan bukan sekadar terlepas daripada belenggu jajahan British, tetapi terlepas daripada jajahan model baru iaitu teknologi media sosial yang berleluasa pada masa ini.
“Tidak dinafikan pengaruh luar melalui media sosial amat tinggi. Oleh itu kita sebagai pengguna harus berhati-hati,” katanya.
Turut Hadir, Pengarah Pemasaran dan Promosi RTM, Kamal Roslim, Pegawai
Perubatan Daerah Ranau, Dr Abdul Aziz bin Abdul Ghani, Pengerusi JKKK Kg Kebuh, Siti Nurjana Abas, Pegawai Khas kepada Datuk Abidin Madingkir, Juis Konsuling dan pemimpin-pemimpin masyarakat setempat.