SERAH TUGAS…Syahrin ( kanan ) dan Yassin (kiri ) ketika sesiPenyerahanNota Serah Terima Tugas sambil disaksikan Alexander dan Florencia
RANAU: Ketua Penolong Pengarah (KPP), Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Syahrin Samsir Kasibun dilantik sebagai Pegawai Daerah Ranau yang baharu.
Syahrin, 34, berasal dari Kampung Lohan Ranau, menggantikan Yassin Ibrahim yang berpindah ke Institut Latihan Sektor Awam Negeri Sabah (INSAN) sebagai Pengarah.
Syahrin Samsir Kasibun, 34
Beliau yang berpengalaman luas dalam pentadbiran awam dan pengurusan pernah berkhidmat sebagai Pegawai Kanan- Hasil Bumi, Penolong Pegawai Daerah (Pentadbiran) dan Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) Pejabat Daerah Telupid sebelum dilantik KPP, Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah.
Manakala, Yassin, 56, telah berkhidmat di Pejabat Daerah Ranau sebagai Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) hampir 10 tahun sebelum dilantik Timbalan Setiausaha Tetap (TSUT), Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Negeri Sabah semasa kerajaan Warisan.
Selepas hampir setahun berkhidmat sebagai TSUT, Yassin kembali ke daerah Ranau sebagai Pegawai Daerah menggantikan Haji Faimin Kamin yang bertukar ke daerah Keningau juga sebagai Pegawai Daerah.
Yassin telah berkhidmat sebagai Pegawai Daerah Ranau hampir dua tahun bermula Mac 2019.
Sesi Penyerahan Nota Serah Terima Tugas antara Yassin dan Sahrin berlangsung di Pejabat Daerah Ranau hari ini (Jumaat).
Turut menyaksikan sesi serah dan terima tugas, Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) Alexander Liew dan Penolong Pegawai Daerah (Pentadbiran), Florencia Padasian.