31 C
Kota Kinabalu
Khamis, September 19, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Sesi libatsama bersama masyarakat perlu diadakan sebelum laksana RUU Penagihan Dadah (Rawatan Dan Pemulihan) (Pindaan) 2024

Madius Tangau

KUALA LUMPUR: Sesi libatsama (engagement) dengan masyarakat sivil, ahli-ahli akademik, pakar perubatan profesional, dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) amat penting bagi memurnikan cadangan kerajaan dalam usaha mengatasi masalah penagihan dadah di negara ini secara berkesan.

Sehubungan itu, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO – Tuaran) menyarankan Rang Undang-Undang (RUU) Penagihan Dadah (Rawatan Dan Pemulihan) (Pindaan) 2024 dirujuk semula ke Jawatankuasa Pilihan Khas bagi membolehkan sesi libatsama dapat diadakan untuk mendengar pandangan secara menyeluruh daripada pelbagai pihak.

“Langkah Kerajaan Madani memindah Akta Penagih Dadah (Rawatan Pemulihan) (Pindaan) 2024 adalah satu langkah yang berani dengan niat yang sangat bagus.

“Walau bagaimanapun, seperti juga yang dibahaskan oleh beberapa rakan-rakan lain, bahawa cadangan pindaan yang dibuat sekarang ini tidak menyeluruh dan mempunyai banyak kelompangan yang perlu diperbaiki.

“Dan Tuaran difahamkan kelompangan ini telah berlaku kerana pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak membuat engagement dengan pakar-pakar perubatan, ahli-ahli akademik dan juga masyarakat sivil,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi ucapan perbahasan RUU tesebut sempena Persidangan Parlimen Dewan Rakyat di sini, pada Khamis.

Turut membuat gesaan yang sama Ramkarpal Singh Karpal Singh (PH – Bukit Gelugor), Ganabatirau Veraman (PH – Klang), Teresa Kok Suh Sim (PH – Saputeh), Syahredzan Johan (PH – Bangi) dan beberapa ahli Parlimen dari blok Pembangkang.

Menurut Madius, antara kelompangan ialah seperti yang terdapat pada Seksyen 6: Perintah Rawatan dan Pemulihan Penyalahguna Dadah Atau Bahan

“Di sini pindaan ini meletakkan penjara tidak lebih dua tahun dan sebatan tidak lebih tiga sebatan jika klien melanggar syarat semasa dalam rawatan di dalam komuniti.

“Saya ingin menegaskan bahawa rang undang-undang dadah yang dicadangkan oleh kerajaan bersifat menghukum dan bercanggah dengan prinsip-prinsip hak asasi manusia.

“Undang-undang ini akan mengakibatkan lebih banyak masalah berbanding membantu klien mendapatkan rawatan kerana işu dadah adalah işu kesihatan.

“Kita seharusnya mengambil pendekatan yang lebih holistik dan efektif dalam menangani masalah ini, seperti pendekatan pencegahan, rehabilitasi, dan penyelidikan yang lebih mendalam serta kerjasama dari semua pihak,” katanya.

Mantan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu memaklumkan, kelompangan turut dilihat dalam Seksyen 16 (4)(5): Pusat Pemulihan Persendirian bagi Rawatan, Pemulihan dan Jagaan Lanjut.

Ujarnya, pindaan itu mencadangkan denda RM500,000 atau penjara tidak lebih 5 tahun pada pusat pemulihan yang tidak mendapat kelulusan dari Menteri dan juga RM50,000 atau penjara tidak lebih 3 tahun pada individu yang melanggar syarat operasi.

“Kita seharusnya memudahkan dan mengalakkan pendaftaran pusat rawatan bagi menjaga kualiti rawatan yang diberikan akan tetapi jika ada pihak yang tidak mendaftar tanpa alas an munasabah, pusat tersebut perlu ditutup.

“Tindakan mengetatkan syarat dan mengenakan denda kepada pusat rawatan dan NGO tidak berkesan dan menunjukkan keengganan untuk bekerjasama secara holistik.

“Justeru, Tuaran mendesak kerajaan untuk membuka saluran komunikasi dan bekerjasama dengan semua pihak termasuk NGO dan pusat swasta yang berpengalaman dalam membantu individu yang terlibat dengan dadah,” katanya.

Terdahulu, Madius memaklumkan 70.4% atau seramai 53,072 banduan yang ada di dalam penjara di seluruh negara pada ketika ini adalah mereka yang terlibat dengan masalah penagihan dadah.

“Selain keadaan penjara yang sesak, ia juga menyumbang kepada kos makanan keseluruhan banduan sedia ada pada kadar lebih kurang RM2 – juta sehari atau pun kira-kira RM726 juta setahun.

“Tuaran percaya, dekriminalisasi penagih dadah ini akan meningkatan pemahaman sains dan pendekatan kesihatan awam, mengurangkan kesesakan dalam penjara, mengurangkan kadar penyebaran penyakit berjangkit, mengurangkan beban kerja ke atas polis, mengurangkan rekod jenayah dan membantu kesinambungan hidup yang positif, serta mengurangkan kos pada kerajaan.

“Namun, penagih dadah yang melakukan jenayah seperti mencuri, merompak dan sebagainya perlu dikenakan hukuman mengikut undang-undang yang sedia ada,” jelasnya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN