Seramai 800 pelajar sertai gunting rambut percuma anjuran GRS Nabawan
NABAWAN: Seramai 800 pelajar sekolah rendah dan menengah mendapat perkhidmatan gunting rambut percuma dalam program ‘Back To School 2025 anjuran Pergerakan Pemuda, Wanita dan Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Nabawan.
Ketua Pemudanya Ag Azuan Pg Hamzah berkata, program ini dilaksana dengan kerjasama dua kedai gunting rambut di daerah ini selama dua hari bermula 15 – 16 Mac dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang.
Katanya, ia bertujuan membantu meringankan beban ibu bapa di mana anak-anak mereka kembali ke sekolah selepas cuti.
“Sekurang-kurangnya kita dapat membantu ibu bapa yang kurang mampu dalam membiayai anak-anak apabila kembali ke sekolah, bayangkan kalau ada ibu bapa yang mempunyai tiga anak tanggungan ke sekolah sudah tentu mereka memerlukan perbelanjaan yang lebih untuk membeli keperluan sekolah yang lain, jadi kita bantu sikit-sikitlah dari segi gunting rambut” katanya selepas merasmikan progam itu pada Sabtu.
Menurut Azuan, program ini telah di laksanakan selama lima tahun berturut-turut.
Jelasnya, Pergerakan Pemuda bahagian ini melaksanakan program seumpama ini setiap tahun sebelum kembali ke sekolah khas kepada pelajar-pelajar sekolah di daerah ini.
Menurut Azuan lagi, bagi tahun ini ada beberapa lagi program pemuda yang telah dirancang untuk khidmat masyarakat di daerah ini.
Sementara itu beberapa ibu bapa yang ditemui menyambut baik program ini kerana kata mereka, ia dapat membantu meringankan ibu bapa terutama bagi mereka yang tidak pandai menggunting rambut anak.
“Dengan adanya program ini, ia dapat membantu terutama bagi ibu bapa yang mempunyai taanggungan yang ramai” kata mereka.
Mereka berharap program yang lebih menjurus kepada membantu pelajar dapat diteruskan dari masa ke semasa kerana ia memberi manfaat kepada anak-anak sekolah.



