KENANGAN...Robert (duduk Tengah) bersama Ketua Jabatan dan pemimpin masyarakat merakamkan gambar kenangan dengan Ketua-Ketua adat yang menerima watikah pelantikan pada majlis itu.
KENINGAU:Empat Ketua Anak Neger (KAN), 13 Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN), 55 Ketua Kampung (KK)dan dua Ketua Masyarakat Cina (KMC)masing-masing menerima watikah pelantikan dalam satu majlis penyerahan watikah pelantikan Ketua-Ketua Pemegang Adat DUN Bingkor di Dewan Koningau Majlis Daerah di sini kelmarin.
Penyerahan watikah pelantikan ketua-ketua adat itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Bingkor Datuk Robert Tawik.
Semasa berucap menyampaikan amanat kepada ketua-ketua adat pada majlis itu Robert mengingatkan semua Ketua adat supaya jangan sekali- kali menyokong dan mengesahkan dokumen-dokumen berkaitan pendatang tanpa izin (PATI) yang memohon sijil kelahiran dan kad pengenalan.
Katanya, jika individu itu sudah dikenali sebagai PATI, jangan sewenang-wenangnya mengesahkannya sebagai penduduk tempatan.
Robert yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya berkata, peranan Ketua Adat bukan sahaja mempertahankan adat istiadat orang asal tetapi turut memainkan peranan melindungi kampung masing-masing dicerobohi dan diduduki olah PATI.
Menyentuh tentang penggunaan gelaran OKK Robert berkata, ia bukan boleh digunakan sewenang wenangnya bagi KD yang baru dilantik.
“Tidak semestinya KD yang baru dilantik terus boleh digelar OKK. OKK adalah satu penganugarahan oleh kerajaan dan diberikan kepada seseorang KD atas perkhidmatan yang telah dijalankan dengan cemerlang serta sekurang kurang telah berkhidmat tidak kurang daripada sepuluh tahun sebagai KD. Ini pun atas penilaian kerajaan” jelasnya.
Pada masa sama Robert mengingatkan Ketua-Ketua Adat tidak melangkau tugas di kawasan lain.
Sebagai contoh katanya, Ketua Daerah di DUN Bingkor tidak boleh melangkau tugasnya ke kawasan lain.
“Begitu juga KAN, WKAN dan KK, jagalah kawasan masing-masing supaya tidak ada pertindihan kuasa atau tugas” katanya.
Beliau berkata, setiap kawasan mempunyai KD dan dibawahnya adalah KAN, WKAN dan KK.
Hadir sama Pegawai Daerah Keningau Hassan Mahali, ketua-ketua Jabatan dan pemimpin-pemimpin masyarakat.