Robert menyampaikan Diploma kepada salah seorang graduan pada Majlis Konvokesyen KV itu.
KENINGAU:Seramai 54,916 graduan telah bergraduasi sejak Majlis Konvokesyen Kolej Vokasional (KV)Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)tahun 2016 hingga 2020.
Ada diantara mereka telah berada di pasaran pekerjaan sama ada di industri dan menjadi usahawan, manakala sebahagian menyambung pengajian.
Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Robert Tawik @ Nordin berkata, ini bertepatan dengan matlamat Transformasi Pendidikan Vokasional yang menetapkan outcome KV KPM mestilah 70% bekerja, 20% menyambung pengajian dan 10% menjadi usahawan.
Katanya, walaupun mendepani pandemik COVID-19 pada tahun 2020, kebolehpasaran graduan KV telah mencapai angka yang memberangsangkan iaitu sebanyak 80.48% (data 6 bulan selepas bergraduat).
“Justeru itu, kita menjangkakan bahawa kebolehpasaran graduan akan mencapai sasaran yang ditetapkan sebagaimana hasrat Kementerian dalam memartabatkan TVET KPM” katanya semasa berucap merasmikan Majlis Konvokesyen Kolej Vokasional di sini pagi tadi.
Selain itu katanya, kerjasama strategik antara KV dengan pelbagai pihak khususnya industri semakin meningkat.
“Pada masa kini, terdapat lebih 1000 MOU (Memorandum of Understanding, Nota Kerjasama, Nota Niat (Letter of Intent) telah ditandatangani antara Kolej-Kolej Vokasional dan industri atau agensi yang berkepentingan. Pengiktirafan dan kerjasama industri ini telah menunjukkan agenda akademik KV adalah setanding dan mampu bersaing dengan pemberi institusi pendidikan yang lain di Malaysia” jelasnya.
Robert yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) percaya untuk merealisasikan martabat destinasi anak bangsa ke mercu jaya bukanlah perkara yang mudah. Jalannya penuh ranjau dan duri. Tahniah saya ucapkan kepada warga KV kerana telah menjayakan kelangsungan pendidikan anak bangsa demi kelestarian hari esok.
Beliau berkata, graduan yang dikeluarkan oleh KV mampu membina masa depan yang lebih gemilang dan membawa nama KV apabila mereka mula memasuki pasaran pekerjaan dan menyumbang kepada pembangunan dan ekonomi negara.
Sehubungan dengan ini Robert menyeru kepada seluruh warga KV untuk teruskan usaha membawa Kolej Vokasional KPM menjadi yang terkehadapan dalam meniti arus Revolusi Industri 4.0 dan meniti arus pemodenan global pendidikan masa kini .
“Pelbagai kejayaan telah dicapai terutama dalam pertandingan Reka Cipta dan Inovasi peringkat antarabangsa yang telah memberi impak yang sangat besar, bukan sahaja menaikkan imej kolej, bahkan meletakkan KV di peta dunia. Tahniah untuk KV KPM” ujarnya.

Robert (dua dari depan)semasa perarakan masuk graduan pada Konvokesyen itu.
Beliau berkata, sehingga kini komitmen Kementerian telah menunjukkan kemampuan pihak KPM menampung lebih kurang 80,000 orang pelajar dalam bidang kemahiran bagi sistem pendidikan vokasional.
Usaha ini katanya, menunjukkan tanda-tanda awal kejayaan memartabatkan pendididikan TVET dan sekaligus membekalkan Negara dengan sumber modal insan yang berpotensi dalam bidang ekonomi, sosial dan politik.
Justeru katanya, keyakinan sikap serta kemahiran spesifik dalam bidang kemahiran serta kemampuan bersaing, terutamanya bagi mengisi perjawatan di sektor swasta dan industri-industri perlu dipertingkatkan.
“Graduan juga harus meningkatkan nilai jati diri dan keberanian untuk meninjau peluang-peluang pekerjaan di semua sektor yang menawarkan gaji yang lebih lumayan. Ini adalah antara usaha untuk membina generasi Malaysia yang terdiri daripada bangsa Malaysia yang mampu memiliki pekerjaan dengan pendapatan yang tinggi” tambahnya.
Namun begitu jelasnya lagi, para graduan hendaklah ingat bahawa persaingan di luar adalah sangat hebat terutamanya pada zaman dunia tanpa sempadan ini. Pengetahuan, dan kemahiran yang diperolehi tidak akan berguna jika kita tidak mampu menunjukkan disiplin diri yang tinggi ketika bekerja.
“Di dunia realiti, para graduan harus berdikari dalam menyelesaikan masalah diri dan organisasi tempat bekerja, mempunyai perwatakan yang kuat dan berperibadi mulia, serta berupaya menghadapi apa jua situasi dan rintangan. Sebagai sebuah negara merdeka, para graduan harus sedar bahawa sebagai generasi masa hadapan, tanggungjawab mengurus pembangunan Negara dan menentukan arah kecemerlangan Negara yang tercinta ini, terletak di bahu mereka” katanya.
Pada Konvokesyen musim ini seramai 10,864 graduan Kolej Vokasional (KV) seluruh Malaysia akan menerima diploma mereka.
Hadir sama Pengarah Kolej Vokasional Keningau Johari @ Jaibet Sabin, Timbalan Pengarah Akademik Puan Noorhayati Hashim @ Harun, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik Pounsin Kining, Ketua Jaminan Kualiti Cik Kilin Toyou dan Yang Dipertua Persatuan Ibubapa dan Guru Menuel Siah.