Dr Raymie (duduk kiri ) bersama penceramah dan peserta kursus.
BEAUFORT: Seramai 24 peserta berjaya menamatkan Kursus Jurulatih Olahraga World Athletics (WA) CECS Tahap 1 di Kompleks Sukan Beaufort.
Kursus yang dianjurkan oleh Persatuan Olahraga Sabah (SAA) ini diadakan secara hibrid, iaitu bermula secara e-Learning pada 01 – 28 Februari dan berakhir secara bersemuka pada 04 – 08 Mac 2024. Kursus ini telah dikendalikan oleh dua orang pensyarah WA, iaitu Anbarasu Subramaniam (Malaysia) dan Raup Tasim (Brunei Darul Salam).
Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan SAA, Dr Raymie Bin A. Bakar menjelaskan kursus ini bertujuan untuk melatih lebih ramai jurulatih muda yang lebih dinamik dan berkebolehan dari seluruh daerah bagi mencungkil bakat-bakat atlet dalam sukan olahraga.
Katanya kursus ini sentiasa mendapat sambutan terutamanya daripada kalangan guru sekolah, namun penyertaan kursus ini terhad untuk 24 orang sahaja. Setiap peserta kursus melaksanakan pembelajaran kendiri melalui 30 modul pembelajaran secara online dan perlu melepasi beberapa ujian sebelum menyertai kursus bersemuka.
Dalam pada itu katanya, Presiden SAA Mohamat Bin Hasan akan memohon kepada Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) agar satu kursus lanjutan iaitu Kursus Kejurulatihan Olahraga WA CECS Tahap 2 dapat diadakan di negeri ini kerana Sabah mempunyai ramai atlet olahraga berpotensi yang perlu digilap untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
Majlis Perasmian Penutupan Kursus telah diadakan di Pejabat KBS (Bahagian Pedalaman Bawah) Beaufort.
Dalam ucapan aluan oleh Penyelaras AJK Kerja, Mohammad Azrin bin Mohd Ismail (Presiden POD Beaufort), beliau mengucapkan syabas dan terima kasih kepada semua peserta kerana telah memberikan kerjasama padu dan menunjukkan disiplin terbaik sepanjang 5 hari kursus bersemuka dijalankan. Beliau juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pejabat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Beaufort dan Pengurusan Kompleks Sukan Beaufort di atas kerjasama dan kemudahan venue yang disediakan sepanjang program.
Keputusan Layak Mendapat Sijil telah diumumkan oleh Anbarasu Subramaniam, Pensyarah Kanan WA yang juga merupakan pengarah kursus ini. Semua peserta berjaya memperolehi markah lulus yang ditetapkan oleh WA dan layak menerima Sijil Kejurulatihan Tahap 1 WA CECS. 11 orang peserta telah melepasi markah kelayakan untuk meningkatkan kemahiran kejurulatihan ke Tahap 2. Tan Yik Soon dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik (Praktikal), Muhd Azlan Shah bin Haris sebagai Pelajar Terbaik (Penulisan) dan Diggley Ian M. Gapang sebagai Peserta Terbaik (Keseluruhan).
Majlis Perasmian Penutupan telah disempurnakan oleh Timbalan Presiden SAA, Henry Kenneth Lawrence.
Beliau dalam ucapannya berharap semua peserta dapat menjadi jurulatih berkualiti dan berkesan yang mampu menggilap bakat-bakat muda agar Sabah tidak ketandusan pelapis dalam bidang olahraga pada masa akan datang.
Hadir sama Pegawai KBS (Bahagian Pedalaman Bawah) Beaufort, Mohd Ifnuh Sumbogo dan Pengurus Kompleks Sukan Beaufort, Linus Nicholas.