Dr. Gerturude …..Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya.
Oleh:Marutin Ansiung
KOTA KINABALU:Seramai 24 orang peserta menyertai kursus kejurulatihan olahraga yang pertama bertaraf antarabangsa dijalankan di Malaysia secara atas talian selepas negara Palestine dan Filipina.
Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya, Dr. Gerturude Jock ketika dihubungi berkata, kursus tersebut sepatutnya dijalankan secara bersemuka pada bulan November 2020 tetapi oleh kerana pandemik berterusan maka kursus tersebut dijalankan secara atas talian setelah mendapat kebenaran daripada Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan World Athletics yang berpangkalan di Monaco iaitu badan yang menaungi olahraga dunia.

Dato’ SM Muthu…..Presiden KOM.
Jelasnya, daripada 24 orang peserta kursus tersebut, empat orang adalah pensyarah IPG Kampus Gaya dan Keningau, 18 orang guru-guru sekolah, seorang atlet daripada Sekolah Sukan Sabah dan seorang atlet kebangsaan daripada Majlis Sukan Negara Bukit Jalil.
Katanya, setelah menduduki ujian bertulis dan amali secara atas talian kesemua peserta telah lulus dan berjaya mendapatkan Sijil Kejurulatihan World Athletic Tahap 1, dan 13 orang daripadanya layak ke Tahap 2.
“Objektif kursus itu diadakan adalah untuk menambah bilangan jurulatih olahraga yang bertaraf antarabangsa di negara ini dan khasnya di Sabah” katanya.

Peserta kursus yang mengikuti secara maya atau dalam talian.
Selain itu katanya, ianya dapat melahirkan jurulatih yang berkelayakan di kalangan guru-guru sekolah dan melalui kursus ini juga para jurulatih dapat mengaplikasikan latihan dengan cara yang betul dan berterusan.
Upacara penutupan kursus tersebut telah disempurnakan oleh Presiden KOM, Dato’ SM Muthu.