Datuk Sh. Siti Saleha dalam sidang media itu.
KENINGAU: Seramai 104 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) daripada 159 yang diperiksa telah ditahan dalam Operasi Penguatkuasaan Imigresen di sekitar daerah Keningau pada Rabu.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah Datuk Sh. Siti Saleha Binti Habib Yussof berkata, operasi yang bermula pada jam lebih kurang 12.10 tengah malam hingga jam lebih kurang 03.55 pagi melibatkan 78 orang Pegawai terdiri daripada 58 Pegawai JIM Sabah 20 Pegawai RELA.
Katanya, mereka ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen, antara yang dikenalpasti ialah tiada dokumen pengenalan diri dan tinggal lebih masa.
“Daripada jumlah yang ditahan, warga Indonesia 87 orang terdiri daripada 31 lelaki, 30 perempuan dan 26 kanak-kanak manakala warga Filipina terdiri daripada 02 lelaki, 07 perempuan dan 08 kanak-kanak” katanya sidang media selepas operasi itu.
Jelasnya, kesemua yang ditahan berumur antara 05 bulan hingga 89 tahun akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Papar untuk siasatan dan tindakan susulan.
Katanya, semasa serbuan dan pemeriksaan terdapat kejadian warga asing cuba melarikan diri dan bersembunyi daripada anggota operasi.
Beliau berkata antara cabaran utama operasi adalah warga asing lebih peka terhadap pergerakan pegawai operasi dimana mereka menggunakan media sosial seperti aplikasi whatsapp untuk menyebarkan maklumat semasa keberadaan pegawai operasi.
“Maklumat ini memberikan warga asing peluang untuk lari bersembunyi” katanya.
Katanya lagi, keadaan semasa serta bentuk muka bumi kawasan operasi yang berbukit, berlumpur dan merangkumi kawasan yang sangat luas, menyukarkan aktiviti operasi.
Tambahnya, operasi penguatkuasaan dilaksanakan secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warga negara asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara seperti dibawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
Sehubungan dengan ini katanya, JIM mengingatkan orang ramai dan majikan supaya tidak melindungi PATI atau terpaksa berhadapan dengan tindakan undang-undang.
Beliau juga menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat yang boleh membantu JIM dalam melaksanakan penguatkuasaan supaya tampil menyalurkan maklumat tersebut.
Untuk rekod katanya, statistik aktiviti penguatkuasaan JIM Sabah setakat bulan Julai 2024 mencatat jumlah operasi 1066, jumlah orang diperiksa 20706, jumlah orang ditangkap 3619 dan jumlah majikan didakwa 31
Sementara itu katanya, jumlah keseluruhan tahanan yang telah dihantar pulang ke negara asal setakat bulan Julai 2024 sebanyak 4150 orang.
Program pemindahan ini katanya, dilakukan secara konsisten sekurang-kurangnya dua kali sebulan.