Foto atas: Deputi Superintendan Sammy Newton
RANAU: Seorang anggota polis di sini cedera ketika bergelut dengan dua daripada tiga lelaki yang bertindak agresif dan cuba melarikan diri kerana didapati memiliki dadah.
Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Sammy Newton dalam kenyataan media kemarin berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10 malam pada Sabtu di Kampung Tagudon Lama.
Terdahulu katanya, sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Ranau sedang menjalankan rondaan pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kawasan itu berjaya menangkap tiga lelaki tempatan berumur lingkungan 32 hingga 37 tahun di hadapan simpang masuk Sekolah Agama Negeri (SAN) Tagudon Lama.
“Ketika tangkapan dilakukan, dua suspek tiba-tiba bertindak agresif dan cuba untuk melarikan diri. Insiden itu menyebabkan berlaku pergelutan antara suspek dan anggota polis menyebabkan salah seorang anggota detektif cawangan khas mengalami kecederaan pada muka dan tangan.
“Dalam kejadian itu, polis turut merampas tiga paket dadah dipercayai syabu dengan berat anggaran 0.51 gram yang disembunyikan di dalam sebuah bekas penyimpanan cermin mata dan peralatan menghisap dadah dalam sebuah kenderaan pancuan empat roda jenis Pajero yang digunakan oleh suspek.
“Saringan air kencing ke atas suspek juga mendapati ketiga-tiganya positif dadah jenis ‘Amphetamine’ dan Methamphetamine’. Kesemua suspek telah direman dan kes disiasat di bawah Seksyen 12 (2) ADB 1952 dan Seksyen 15 (1) (A) ADB 1952,” katanya.
Menurut Sammy, siasatan lanjut turut mendapati, kesemua suspek pernah ditangkap dan didakwa atas kesalahan penyalahgunaan dadah masing-masing dibawah Seksyen 12 dan 15 Akta Dadah Berbahaya 1952 disekitar Ranau, Menggatal dan Kota Kinabalu sebelum ini.
Katanya, pihak polis juga percaya kesemua suspek terlibat dalam menjalankan kegiatan menagih dan mengedar dadah di sekitar daerah ini.
Dalam masa sama, pihak polis turut membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana suspek menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam iaitu pasukan polis semasa mereka menjalankan kewajipan sebagai penjawat awam.
“Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
“Ketiga-tiga suspek juga akan dituduh di bawah Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang membawa hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan,” jelas beliau.
DSP Sammy turut menambah, polis akan terus menguatkuasakan pembenterasan najis dadah di daerah ini bagi mengelak pelbagai gejala sosial dan jenayah.
Justeru katanya, orang ramai disaran memberikan kerjasana kepada pihak polis untuk menyalurkan maklumat mengenai sebarang kegiatan penyalahgunaan dadah yang berlaku di sekitar Ranau.-TAMAT