KOTA BELUD: Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick berkata, semua Wakil Rakyat dan pemimpin masyarakat Kadamaian dari dahulu sehingga hari ini mempunyai peranan, sumbangan dan pencapaian masing-masing.
Beliau yang juga Ketua Bahagian UPKO Kota Belud berkata, ianya bukan soal parti mana yang bertanding dan mewakili Kadamaian, sebaliknya ia mengenai soal kepimpinan yang berkesan dan progresif.
“Anda mungkin tidak suka dengan parti saya atau mana-mana parti, tetapi saya amat yakin rakyat Kadamaian hanya mahukan aktiviti pembangunan yang rancak, terancang dan berfokus,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Seminar Memperkasa Undang-Undang Adat Anak Negeri di Dewan Kadamaian Square, di sini, kelmarin.
Mengenai seminar itu, Ewon berkata usaha memperkasakan Mahkamah Anak Negeri (MAN) atau institusi MAN Kota Belud adalah antara yang diberi fokus dalam Pelan induk Pembangunan Kadamaian yang telah dilancarkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Shafie Apdal pada Januari lalu itu.
Seminar itu dipengerusi oleh Ewon dan kertas kerja “Memperkasakan Undang-undang Adat Negeri Sabah” dan “Peranan Ketua-ketua Adat Dalam Menangani isu Pendatang Asing Tanpa Izin” di negeri Sabah disampaikan oleh Tan Sri Richard Malanjum dan Datuk Dr Chong Eng Leong.
Seminar seumpama itu yang julung kalinya diadakan di Kadamaian, disertai ketua-ketua adat, pengerusi-pengerusi MPKK dan pemimpin masyarakat.
Majlis penutupan seminar disempurnakan oleh Ahli Parlimen Kota Belud Isnaraissah Munirah Majilis.
Ends