TAKLIMAT….Mohd Idris memberikan taklimat kepada kumpulan pelajar terakhir yang pulang ke Tawau pada Isnin.
LABUAN: Urusan penghantaran pulang 2,232 pelajar Kolej Matrikulasi Labuan (KML) yang berasal dari Sabah dan Sarawak telahpun selesai sepenuh apabila kumpulan terakhir membabitkan 154 pelajar yang pulang ke Tawau menggunakan lapan buah bas tiba dengan selamat petang Selasa.
Pengarah Kolej Matrikulasi Labuan, Mohd Idris Omar menzahirkan rasa syukur kerana semua pelajar yang telahpun menamatkan pengajian, namun terkandas untuk pulang lebih awal akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu kini semuanya telahpun selamat dihantar pulang ke destinasi masing-masing.

PENGIRING….Mohd Idris (tengah) bersama pegawai KML yang akan mengiringi penghantaran terkahir pelajar KML ke Tawau Sabah.
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Jawatakuasa Pengurusan Bencana Wilayah Persekutuan Labuan yang diterajui oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr. Fary Akmal Osman.
Katanya, urusan penghantaran pulang pelajar KML yang cukup sempurna itu telah mendapat kerjasama daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kesihatan, Perbadanan Labuan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Labuan, MKN, JBPM Labuan, Jabatan Kesihatan Labuan, Perbadanan Labuan, PDRM, ATM dan juga Angkatan Pertahanan Awam yang telah bekerja keras dalam membantu menguruskan Operasi Penghantaran pulang pelajar sejak hari pertama iaitu pada 2 Mei yang lalu” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media ketika melakukan pemantauan pergerakan terakhir penghantaran pulang pelajar KML ke Tawau di Terminal Feri Kenderaan Labuan, pada Isnin.
Jelas beliau lagi, semua kos penghantaran pulang pelajar KML menaiki bas, feri dan juga penerbangan dibiayai sepenuhnya oleh Bahagian Matrikulasi, Kementerian Pendidikan Malaysia.
Mohd Idris turut menasihatkan para pelajar berkenaan untuk terus mengikuti SOP yang telah ditetapkan kerajaan.
“ Saya harap semua pelajar bukan sahaja dapat bergembira kerana bertemu dengan ahli keluarga masing-masing, tetapi yang lebih penting sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan bagi memutuskan rantaian wabak Covid 19.



