26 C
Kota Kinabalu
Sabtu, November 8, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

SEMINAR USAHAWAN MADANI TONJOL SABAH SEBAGAI ‘HOME OF GLOBAL BRANDS’

Ewon ketika berucap merasmikan Seminar Usahawan MADANI: Perniagaan Keluarga di Le Meridien Hotel di sini hari ini

KOTA KINABALU: Sabah disifatkan sebagai “Home of Global Brands” apabila beberapa jenama perniagaan keluarga tempatan terbukti berjaya menembusi pasaran antarabangsa, sekali gus memperkukuh ekosistem keusahawanan negara.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata kejayaan syarikat-syarikat dari Sabah membuktikan kekuatan model perniagaan berasaskan keluarga dalam menjana pertumbuhan ekonomi berterusan.

Antara contoh perniagaan keluarga yang dikenali di peringkat global ialah C&F Enterprise Sdn Bhd dengan jenama snek Hari-Hari yang diasaskan sejak 1977, serta Brutti & Besi yang menghasilkan perabot berkualiti tinggi.

Turut tersenarai ialah Jetsin Group yang bermula di Kota Kinabalu pada 1960-an dan kini berkembang ke sektor peruncitan, hartanah dan hospitaliti di bawah generasi baharu keluarga Koh, selain Yee Lee Corporation yang berakar umbi daripada pengeluaran minyak masak di Sandakan sebelum meluaskan operasi ke peringkat antarabangsa.

“Jenama lain yang turut membanggakan negeri ini ialah Sabah Tea yang ditubuhkan pada 1973, Borenos Fried Chicken yang mengetengahkan cita rasa tempatan melalui rangkaian makanan segera, serta pengusaha makanan laut berasaskan industri keluarga di pesisir pantai negeri ini

“Kesemua contoh ini membuktikan keupayaan usahawan Sabah untuk meneruskan legasi keluarga, menjana ekonomi dan menempatkan jenama mereka di persada global,” katanya.

Ewon berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Usahawan MADANI: Perniagaan Keluarga di Le Meridien Hotel di sini hari ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) atas penganjuran seminar tersebut yang disifatkan sebagai platform penting dalam memperkukuh ilmu, memperluas jaringan dan memastikan kesinambungan legasi antara generasi.

Sehubungan itu, para peserta diseru untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang yang tersedia dengan menimba pengalaman daripada usahawan berjaya serta merancang hala tuju perniagaan secara lebih tersusun.

“Ingatlah, perniagaan adalah kekayaan dan kekayaan ini perlu diuruskan dengan bijaksana agar terus memberi manfaat kepada generasi akan datang,” tambahnya.

Majlis turut menyaksikan penghargaan disampaikan kepada Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Viviantie, para penceramah serta penaja yang terlibat.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN