TELUPID: Semangat perpaduan dan keharmonian perlu dipertahankan bagi mewujudkan suasana aman damai khasnya ketika merayakan perayaan krismas.
Menyatakan perkara itu, Adun Sugut Datuk James Ratib berkata, amalan saling hormat-menghormati dikalangan penganut agama lain adalah kunci kepada keutuhan perpaduan dan keharmonian hidup bermasyarakat.
“Jangan terlalu taksub dengan budaya mementingkan diri sendiri dan hasutan-hasutan membenci kepercayaan orang lain. Amalan hormat-menghormati sesama kita penting dipertahankan”. Tegasnya dalam satu kenyataan ketika menghadiri jemputan Perayaan Krismas di Kampung Barayong, Telupid pada Sabtu.
James yang juga Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan Negeri Sabah berkata, semangat ‘Keluarga Malaysia’ yang diperkenalkan Kerajaan sebenarnya telah diamalkan sekian lama sebahagian besar rakyat di negeri ini.
Jelasnya, di Sabah beliau amat kagum kerana walaupun ada ahli keluarga yang berlainan fahaman agama, namun masih boleh duduk semeja dan hidup bersama tanpa wujud perbezaan.
“Saya sendiri mempunyai ahli keluarga yang berlainan fahaman agama dan bangsa. Kami saling menghormati dan tiada sebarang masalah ketika berkumpul bersama”. Katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan para penduduk agar terus mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan bagi membendung penularan Covid-19.
Tegasnya, walaupun merayakan perayaan krismas bersama ahli keluarga, penularan virus Covid-19 tidak boleh dipandang ringan kerana hingga kini penyakit tersebut masih belum reda daripada menjangkiti manusia.
“Kita masih belum menang dalam memerangi Covid-19. Justeru, patuhilah sepenuhnya SOP yang ditetapkan demi keselamatan dan kesihatan semua”. Tambahnya.