Kerja-kerja pembinaan jalan konkrit menaiki bukit di Kg Kilanas antara penaiktarafan yang mendesak kini sudah dilaksanakan.
RANAU: Penduduk di daerah ini kini dapat menikmati jalan-jalan raya yang lebih baik yang diturap dengan konkrit setelah puluhan tahun menunggu pembangunan seumpama itu.
Berkat usaha berterusan Ahli Parlimen Ranau, Jonathan Yasin yang terus-menerus memperjuangkan peruntukan dari pihak atasan, menjadikan kenyataan bagi banyak jalan kampung yang akhirnya diturap satu demi satu.

“Kerajaan memutuskan untuk memberi peruntukan untuk penurapan jalan-jalan kampung dan juga jalan-jalan menuju ke tanah perkuburan, terutama yang dilihat sangat mendesak dan dalam keadaan teruk.
“Kita melihat bahawa ramai yang mengalami banyak kesulitan, misalnya untuk jalan-jalan yang menuju ke perkuburan, di mana kenderaan-kenderaan tidak dapat naik ke atas, dan keranda-keranda terpaksa diangkut dari bawah bukit.
“Oleh itu, kita tumpukan pada semua jalan yang berada dalam keadaan kritikal. Ini untuk memudahkan orang ramai kerana ini melibatkan kepentingan ramai penduduk di sini yang telah lama menunggu,” katanya.

Kerja-kerja penurapan jalan di Kg Marakau
Jonathan yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri II mengatakan bahawa beliau bercadang untuk berbincang dengan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Latiff Ahmad yang baru-baru ini menangguhkan lawatan kerjanya ke Sabah, mengenai jalan raya lain yang perlu diberi perhatian di Ranau.
“Kita mahu menaik tarafkan jalan-jalan lain yang dalam keadaan buruk di Ranau seperti jalan ke Miruru yang telah diutarakan sejak tahun 2019 supaya jalan tersebut diturap dengan kos berjumlah RM21 juta.
“Juga untuk jalan Perancangan, Nelumad, Lakang, yang direncanakan akan dinaik taraf menjadi jalan berturap dengan saranan penuh dari EPU Kerajaan Negeri, tapi sayangnya kita diberitahu hingga sekarang masih kekurangan dana.
“Namun untuk semua yang disebutkan, kami akan menindaklanjuti permohonan kepada pihak berwajib agar mereka dapat memberikan peruntukan yang diperlukan sehingga rakyat dapat menikmati jalan yang lebih baik untuk kampung-kampung kita di sini,” katanya.



