PERBINCANGAN…… Dr Fary (dua kiri) Bashir (tengah), Haji Hamir (tiga dari kanan), Ibrahim (dua kanan) dan Mohd Dzulfaizal (kanan sekali) berbincang mengenai keadaan Selera Manikar.
LABUAN: Selera Manikar yang terletak di tepi pantai Kampung Batu Manikar akan dinaik taraf dan dibangunkan sebagai kawasan pelancongan dan aktiviti riadah bersama keluarga seperti berkelah, meraikan majlis Hari Keluarga dan sebagainya.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Dr Fary Akmal Osman berkata, usaha untuk menaik taraf kemudahan yang sedia ada di kawasan ini akan dipergiatkan bukan sahaja menjadi tarikan pelancong domestik tetapi juga pengunjung yang suka melakukan aktiviti riadah bersama keluarga.
“Kita akan bangunkan kawasan yang berhampiran pantai ini sebagai kawasan pelancongan tempatan yang bukan sahaja mampu menarik pelancong tetapi juga sebagai lokasi yang boleh menjalankan aktiviti beriadah seperti perkelahan, majlis-majlis tertentu dan ini sekaligus meningkatkan ekonomi para peniaga yang berjaja di sekitar kawasan tersebut.” katanya ketika melawat tapak Selera Manikar di Kampung Batu Manikar baru baru ini.
Turut sama dalam lawatan itu, Ahli Dewan Negara yang juga Pengerusi Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Labuan, Senator Datuk Bashir Alias, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan) Perbadanan Labuan, Ibrahim Tambi, Timbalan Pengerusi Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Labuan, Haji Hamir Zahari dan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Zon Labuan, Mohd Dzulfaizal Ab. Manan.
Beliau berkata, Selera Manikar yang turut menyediakan beberapa kemudahan untuk orang awam seperti café, dewan serbaguna dan pejabat pentadbiran akan diuruskan sepenuhnya oleh Yayasan Pembangunan Labuan (YPL).
Dalam perkembangan yang lain, Dr Fary berkata, Perbadanan Labuan dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya sedang mengenal pasti satu kawasan lapang di jalan pesisir pantai Kampung Nagalang yang sedang dalam pembinaan untuk dibangunkan sebagai kawasan tarikan pengunjung untuk beristerihat sambil menyaksikan keindahan pantai dan laut yang tenang menghadap tanah besar Sabah.