25 C
Kota Kinabalu
Rabu, Disember 10, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Sektor Korporat Diajak Salur Sumbangan Bantu Rumah Anak Yatim

Sunoto (dua dari kanan) menerima sumbangan daripada Zulkifli sambil disaksikan Tabi’in (kiri).

RANAU : Sektor korporat diajak untuk terus menyalurkan sumbangan bagi menambah dana pengurusan rumah-rumah anak yatim.  


Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hasan menyeru sektor korporat termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk menyalurkan sumbangan bagi menambah dana pengurusan rumah-rumah anak yatim di seluruh negara.


Katanya, sokongan sektor korporat amat penting untuk membantu institusi seperti Rumah Putera Harapan (RPH) di Kampung Lohan Skim 2 yang secara sukarela menyediakan tempat tinggal, pendidikan dan bimbingan kepada anak-anak yatim serta asnaf.


“Rumah-rumah seperti ini memerlukan sokongan kewangan yang konsisten untuk memastikan mereka dapat terus beroperasi dengan baik.


“Saya yakin sektor korporat mampu memainkan peranan besar dalam memastikan anak-anak ini mendapat peluang pendidikan dan bimbingan yang terbaik.

“Ini adalah usaha mulia yang wajar disokong kerana ia mampu membentuk masa depan yang lebih baik untuk anak-anak kita terutama anak-anak dari golongan yang kurang bernasib baik.

“Sebagai kerajaan yang prihatin, kita akan cuba mengenal pasti dan salurkan permintaan ini kepada sektor korporat dan GLC,” katanya ketika menyantuni anak-anak yatim RPH pada program Ziarah Kasih MADANI anjuran Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM), pada Isnin.

Beliau turut menegaskan bahawa pendidikan adalah kunci utama untuk memutuskan kitaran kemiskinan dan dengan sokongan semua pihak, termasuk sektor swasta, lebih ramai anak-anak yatim dan asnaf dapat menikmati kehidupan yang lebih baik pada masa akan datang.


“RPH menjadi bukti bagaimana usaha komuniti dan sokongan masyarakat dapat membantu golongan yang memerlukan. 


“Dengan sokongan yang berterusan, rumah ini dapat terus menjadi tempat perlindungan yang selamat dan penuh kasih sayang untuk anak-anak yatim,” katanya. 


Sementara itu, Pengurus RPH Ranau, Sunoto Yahmin ketika ditemui media berkata, sokongan kewangan yang stabil amat penting untuk memastikan rumah tersebut dapat terus beroperasi dengan lancar.


“Kami komited memberikan yang terbaik kepada anak-anak ini, tetapi memerlukan bantuan daripada pelbagai pihak untuk memastikan kos operasi dapat ditampung,” ujarnya.


Menurutnya, rumah kebajikan tersebut yang ditubuhkan sejak 2008 kini menempatkan 28 orang anak yatim (lelaki) dari sekitar daerah Ranau dan daerah berdekatan yang bertujuan memberikan perlindungan, pendidikan, dan bimbingan kepada anak-anak yatim serta golongan asnaf.


“Secara purata pusat ini memerlukan sekurang-kurangnya RM15,000 sebulan bagi menampung kos operasi,” jelasnya.


Turut hadir Pengarah YADIM Negeri Sabah Mohd Tabi’in Sahri, Pengarah Lembaga Tabung Haji Negeri Sabah Yusdi Nasip dan Pengerusi Majlis Gabungan NGO Islam Sabah (CONCERN) Sainuri Yahmin. -Penerangan-

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN