Jenddy menerima cenderahati disampaikan Dr. Brandon
SANDAKAN: Penyakit autisme memberi impak yang besar kepada keluarga dan masyarakat, justeru Kerajaan Negeri sedang dalam perancangan untuk menubuhkan sekolah autisme pertama di Sabah, kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) YB Datuk James Ratib.
Menurut beliau, penubuhan sekolah khas ini akan membolehkan kanak-kanak autisme menerima pendidikan yang optimum bagi membolehkan mereka mecapai potensi tertinggi.
Di samping itu, katanya, ia juga akan meringankan beban kewangan terutamanya bagi keluarga dari golongan B40.
Bagi daerah Sandakan pula, James memberitahu bahawa hampir 300 orang kanak-kanak disahkan menghidap penyakit autisme dan jumlah ini meningkat setiap tahun.
“Penyakit autisme merupakan satu penyakit yang memberikan kesan seumur hidup bukan sahaja kepada kanak-kanak, tetapi juga kepada para ibu bapa dan keluarga.
“Setiap tahun, kita melihat lebih ramai kanak-kanak disahkan menghadap autisme. Pada tahun 2021, seramai 589 kes baru autisme si seluruh negara dilaporkan, berbanding 562 kes pada tahun sebelumnya.
“Realitinya, jumlah ini adalah lebih tinggi disebabkan under-reporting yang berlaku secara luas,” katanya.
Tambah James lagi, Kerajaan Negeri prihatin tentang keperluan yang meningkat ini dan bersedia untuk memberikan bantuan secukupnya bukan sahaja untuk penduduk bandar tetapi juga untuk masyarakat luar bandar.
“Daerah Sandakan masih memerlukan lebih banyak pusat rawatan swasta seperti occupational therapy centers, speech therapist dan daycare centers bagi menampung jumlah kanak-kanak autisme yang semakin meningkat.
“Dengan wujudnya lebih banyak pusat-pusat rawatan ini, ianya akan membantu mengurangkan kesesakan atau long waiting time di hospital dan klinik kerajaan.
“Kerajaan juga sedar akan keperluan untuk menambah bilangan sekolah pendidikan khas di Sandakan dan daerah sekelilingnya dan saya akan mengutarakan hal ini kepada Kementerian Pendidikan Malaysia,” katanya.
James yang juga ADUN Sugut berkata demikian semasa perasmian Bengkel Kesedaran Autisme melalui teks ucapannya yang disampaikan oleh Setiausaha Politiknya Jenddy Sanggau yang turut mewakili beliau, di sini pada hari Sabtu.
Sementara itu, beliau menegaskan bahawa golongan NGO memainkan peranan penting dalam mempertingkatkan kesedaran tentang penyakit autisme dalam kalangan masyarakat.
Katanya, pihak NGO juga merupakan stake holder penting dalam memastikan kanak-kanak autisme menerima rawatan yang holistic disamping memberikan sokongan dan bimbingan kepada para ibu bapa.
James mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Malaysia Medical Association (MMA) Sabah di bawah pimpinan Dr Brandon kerana telah berjaya menganjurkan program Bengkel Kesedaran Autisme yang sangat bermakna ini.
“Saya difahamkan bahawa program ini adalah julung kalinya dianjurkan dengan skala besar seperti ini di daerah Sandakan. Inisiatif ini sangat berguna dan saya berharap NGO lain akan mengikuti contoh MMA Sabah.
“Program pada hari ini mengumpulkan seramai 100 para ibu bapa bukan saja dari daerah Sandakan, malah juga dari daerah Beluran, Kinabatangan dan Telupid.
“Tahniah diucapkan kepada para ibu bapa sekalian kerana mengambil kesempatan ini untuk mempelajari dengan lebih mendalam tentang penyakit autism. Saya juga berharap para ibu bapa akan mengambil sebanyak manfaat daripada bengkel hari ini,” jelas beliau.
Turut hadir di majlis ini, Pengerusi MMA Sabah Branch Dr Brandon Patrick Senagang, Pakar Pediatrik Hospital Duchess of Kent Dr Chin Ling, para penceramah jemputan, ibu bapa dan lain-lain.