25.5 C
Kota Kinabalu
Ahad, Januari 19, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Sebanyak 48 projek ‘people centric’ berimpak tinggi dilaksanakan di kawasan Parlimen Pensiangan sepanjang tahun 2020, 2021.

Arthur  menandatangani plak perasmian Jeti Kampung Buntulon.

NABAWAN:Sebanyak 48 projek ‘people centric’ yang berimpak tinggi merangkumi pembaikan infrastruktur dan fasiliti rosak telah dilaksanakan di kawasan Parlimen P.182 Pensiangan sepanjang tahun 2020 dan 2021.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, projek-projek tersebut merangkumi pembaikan Dewan Komuniti, pembaikan jambatan, pembaikan Balai Budaya, pembaikan Sistem Bekalan Air Graviti dan pelbagai lagi. 

Arthur yang juga Ahli Parlimen P.182 Pensiangan membertahu, daripada jumlah itu sebanyak 24 projek pembaikan telah dilaksanakan di kawasan DUN Nabawan bagi tahun 2020 dan 2021 dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM2.59 juta.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Jeti Kampung Buntulon, Pagalungan di rumah panjang kampung itu kelmarin.

Menurut Arthur, pembinaan Jeti Kampung Buntulon mencerminkan Kerajaan yang cakna dan prihatin kepada pembangunan infrastruktur berdasarkan keperluan lokaliti setempat. 

“Pembangunan tersebut turut diberi keutamaan kepada masyarakat yang tinggal di kawasan pedalaman selaras dengan semangat ‘keterangkuman’ di dalam Keluarga Malaysia” katanya.

Arthur menyerahkan plak  perasmian pembaikan balai budaya Kampung Mangkam.

Jelasnya, pembinaan jeti ini merupakan pembangunan infrastruktur asas yang signifikan kepada penduduk di sekitar kawasan Pagalungan yang menggunakan sungai sebagai kaedah pengangkutan utama untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain.

Katanya lagi, pembaikan jeti dengan peruntukan sebanyak RM200,000 itu akan memberi manfaat kepada penduduk di sekitar Kampung Buntulon dan kawasan berhampiran.

Tambahnya, infrastruktur yang inklusif dan dapat dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail 

Sabri Yaakob selari dengan hasrat ‘tiada yang tertinggal’ yang digariskan di dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Rancangan Malaysia Kedua Belas.

Ujarnya, dengan sokongan rakyat yang utuh, landskap politik yang stabil yang menjurus kepada pemulihan ekonomi yang lancar akan dapat merealisasikan aspriasi Kerajaan memakmurkan negara dan rakyat di setiap pelusuk kawasan.

Antara projek-projek yang diserahkan termasuk Jeti Kampung Buntulon, Jambatan Pekan Pensiangan, Balai Budaya Kampung Mangkam, Pagalungan dan lain-lain lagi projek-projek kecil yang memberi impak kepada kehidupan seharian penduduk di Parlimen Pensiangan.

Pada majlis itu Arthur turut menyerahkan baju korporat pengamal adat Mahkamah Anak Negeri Pagalungan dan baju korporat JPKK serta seiausaha Mukim Pagalungan.

Hadir sama Tuan Roger Appolonius, Penolong Pegawai Daerah Kecil Pagalungan dan pemimpin-pemimpin setempat.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN