30 C
Kota Kinabalu
Sabtu, Julai 20, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Sarawak mungkin bekal air bersih kepada Sabah, wilayah Kalimantan

Gambar hiasan

MIRI: Sarawak berkemungkinan akan membekalkan air bersih kepada jirannya Sabah dan wilayah Kalimantan di Indonesia sekiranya mempunyai lebihan bekalan pada masa akan datang.

Memetik laporan Bernama, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata hal ini dapat dilakukan sekiranya pengurusan air dapat dilakukan dengan efisien apabila selesainya Program Grid Bekalan Air Sarawak pada 2025 kelak.

Beliau berkata, pengurusan air Sarawak pada masa itu nanti akan diletakkan di bawah satu operator berbanding tiga entiti pada masa ini iaitu Lembaga Air Kuching (LAK), Lembaga Air Sibu (SWB) dan Lembaga Air Kawasan Utara (LAKU).

Menurut beliau, melalui kawal selia bekalan air di bawah unit tunggal itu kelak, Sarawak akan mempunyai data pusat bagi pengurusan bekalan yang efisien dan menjurus kepada lebihan bekalan air.

“Kalau boleh urus dengan baik, kita akan ada lebihan air yang dapat kita kongsikan dengan orang lain,” katanya semasa berucap sebelum merasmikan majlis pecah tanah Pejabat Korporat Lembaga Air Kawasan Utara (LAKU) Management Sdn Bhd di sini pada Rabu.

Abang Johari berkata, penyediaan infrastruktur bekalan elektrik dan air di Sarawak menjadi prasyarat kepada usaha mencapai status wilayah maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Kerajaan katanya menekankan pelaburan di dalam bekalan air dan elektrik itu bagi meningkatkan keluaran dalam negeri kasar daripada RM130 bilion yang direkodkan pada 2019 kepada RM280 bilion pada 2030.

“Inilah juga yang kita tekankan bagi strategi ekonomi pasca Covid-19. Syukur, Alhamdulillah, kita telah menyiapkan pelan dasar sehingga 2030,” katanya.

Mengenai Covid-19, ketua menteri itu mengingatkan rakyat Sarawak agar terus mematuhi SOP bagi mencegah penularan wabak tersebut meskipun sudah mencapai imuniti kelompok 80 peratus.

Beliau turut menyaksikan majlis penyerahan Takungan Air Bukit Selatan oleh Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) kepada LAKU Management Sdn Bhd.

Projek yang dilaksanakan selama 18 bulan dan siap Jun lepas itu dapat menakung air mentah dengan kapasiti 27 juta liter sehari (MLD) bagi bekalan air untuk kawasan bandar Miri. – Bernama

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN